BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Dalam meningkatkan semangat sempena ketibaan Ramadan yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi, Pejabat Peguam Negara (AGC) telah mengadakan kempen membersihkan tanah perkuburan Islam Rangas di ibu negara, kelmarin.
Turut hadir ialah perwakilan AGC, Awang Sheirol bin Haji Mohamad Heldy yang menyerahkan wakaf berupa peralatan memulihara kawasan tanah perkuburan kepada perwakilan dari Unit Tanah-tanah Perkuburan Islam (UTTPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Jufri bin Haji Abdul Jaafar.
Beberapa orang sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan AGC menyertai kempen berkenaan yang diakhiri dengan membaca Surah Yasin dan Tahlil.
Kempen berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Outreach AGC sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memberi balik kepada masyarakat Brunei dan menggalakkan semangat kesukarelawanan.