AGC lancar depot kitar semula

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Pejabat Peguam Negara (AGC) telah bekerjasama dengan DAIKYO Environment Recycling Sdn Bhd untuk menubuhkan depot kitar semula untuk menggalakkan pegawai dan kakitangan AGC mengamalkan tabiat mengasingkan sampah dan melengkapkan inisiatif kitar semula kebangsaan yang sedia ada.

Depot Kitar Semula AGC berkenaan telah dilancarkan hari ini dengan kehadiran Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Hairol Arni bin Haji Abdul Majid dan kakitangan AGC.

Pelancaran berkenaan disusuli dengan pegawai dan kakitangan memasukkan bahan-bahan kitar semula ke dalam tong yang dikhaskan di depot berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AGC di sini, hari ini, pengasingan sampah membuka peluang bagi pemulihan sampah seperti kitar semula dan ia adalah langkah pertama yang penting ke arah mengurangkan sampah di tapak pelupusan.

Kenyataan menyatakan, pelancaran berkenaan dianjurkan oleh AGC Ecoteam, jawatankuasa yang ditubuhkan dengan slogan AGC: A Green Community.

Jawatankuasa berkenaan bermatlamat untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih hijau dan menanamkan rasa bertanggungjawab bagi impak manusia terhadap alam sekitar.

Depot kitar semula berkenaan adalah salah satu daripada beberapa Inisiatif Go Green yang dirancang oleh AGC Ecoteam.

Beberapa kakitangan bergambar sempena pelancaran depot kitar semula.