Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agensi PBB gesa gencatan senjata Gaza

    NEW YORK, 6 NOV – Semua ketua agensi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyatakan kemarahan terhadap jumlah kematian orang awam di Gaza.

    Menerusi kenyataan bersama itu, sesuatu yang jarang berlaku, mereka menggesa supaya gencatan senjata kemanusiaan disegerakan dalam perang antara Israel dan Hamas.

    “Selama hampir sebulan, dunia memerhatikan kemelut di Israel dan Wilayah Palestin yang diduduki, menyaksikan jumlah nyawa terkorban pada kadar yang sangat mengerikan,” kata ketua PBB, Antonio Guterres.

    Ketua 18 agensi termasuk Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Program Makanan Sedunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan jumlah korban yang dahsyat di pihak Palestin dan Israel sejak perang bermula 7 Oktober lalu.

    Israel telah bertindak balas dengan serangan udara dan artileri tanpa henti yang membunuh sekurang-kurangnya 9,770 orang yang juga kebanyakan orang awam, kata Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.

    Sementara itu, di Gaza, kenyataan PBB itu memaklumkan seluruh populasi dikepung dan diserang tanpa diberikan akses kepada keperluan untuk hidup, selain tempat tinggal, perlindungan dan hospital, malah tempat ibadat turut dibom.

    Selain itu, kenyataan bersama agensi PBB turut menggesa Hamas supaya membebaskan lebih daripada 240 tebusan yang diculik dalam serangannya dan menggesa kedua-dua pihak menghormati kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa ketika perang berlanjutan.

    “Gencatan senjata kemanusiaan diperlukan serta-merta. Sudah 30 hari. Cukup-cukuplah. Ini mesti dihentikan sekarang,” menurut kenyataan itu. – AFP

    Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung PBB sesi ke-78 pada 19 September 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda