Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Agensi penyelamat dikerah bantu pindahkan mangsa banjir

    KUALA LUMPUR, 27 FEB – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi penyelamat telah dikerah bagi kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan sejak semalam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

    Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) juga sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan proses pemindahan mangsa berjalan lancar.

    “Angkatan Tentera Malaysia melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga telah diatur gerak membantu mangsa di kedua-dua negeri. Ramai yang terjejas sedang diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

    Pada masa sama, Ismail Sabri berkata beliau juga telah mengarahkan NADMA memastikan kit makanan mencukupi di PPS selain Kementerian Kesihatan turut membantu dalam memastikan pencegahan penularan COVID-19 dilaksanakan di pusat pemindahan.

    Perdana Menteri turut meminta mangsa banjir mengikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri dan keluarga.

    “Sama-sama kita doakan agar keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing,” katanya. – Bernama

    Sebuah kereta meredah banjir dalam kejadian yang berlaku di Terengganu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...