Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Agensi risikan Seoul serbu kumpulan yang disyaki

    SEOUL, 18 JAN – Agensi perisikan Korea Selatan hari ini menyerbu kumpulan kesatuan buruh utama di negara itu kerana didakwa terdapat sesetengah anggotanya mempunyai hubungan menyalahi undang-undang dengan Korea Utara, setelah menjalankan siasatan selama bertahun-tahun.

    Seoul secara rasminya masih berperang dengan jirannya yang bersenjata nuklear, dan di bawah Akta Keselamatan Negara yang kontroversial, memiliki bahan penerbitan atau bahan lain yang dihasilkan di Utara boleh menjadi satu kesalahan jenayah.

    Pegawai dari Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan dan polis menyerbu pejabat Kesatuan Tenaga Kerja Korea (KCTU) di tengah Seoul, mengatakan beberapa anggotanya disyaki mempunyai hubungan dengan Korea Utara, kata agensi perisik itu.

    “Kami dan agensi polis negara telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan hubungan suspek dengan Korea Utara selama beberapa tahun,” kata seorang pegawai dari agensi perisik kepada AFP.

    “Berdasarkan bukti yang diperolehi dalam siasatan itu, kami menilai bahawa siasatan lanjut adalah perlu yang membawa kami untuk melakukan serbuan, selepas mahkamah mengeluarkan waran geledah dan rampasan,” tambahnya.

    KCTU menyebut serbuan itu sebagai biadab, menuduh pentadbiran konservatif Seoul bersubahat untuk menyasarkan organisasi buruh.

    Sebagai salah satu kumpulan kesatuan terbesar di negara itu, KCTU dikaitkan dengan tindakan mogok baru-baru ini oleh beberapa pemandu trak, yang kesatuannya berada di bawah KCTU.

    Presiden Yoon Suk-yeol bulan lalu mengarahkan pemandu -pemandu mogok dalam sektor bahan api dan keluli kembali bekerja, mengancam hukuman penjara atau denda, mendorong mereka menamatkan tindakan itu selama berminggu-minggu.

    Akta Keselamatan Negara, yang bermula sejak 1948, menghalang rakyat biasa daripada mengakses kebanyakan kandungan yang dikeluarkan Korea Utara, termasuk akhbar rasmi Rodong Sinmun. – AFP

    Pegawai dari Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) membawa sebuah kotak di hadapan ibu pejabat Kesatuan Tenaga Kerja Korea (KCTU) di Seoul. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...