Agensi swasta sumbang 1,000 pek makanan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Hampir 1,000 pek makanan telah dikumpulkan oleh pelbagai agensi swasta dan persendirian seperti TLT Enterprise, Persekutuan Wusyu Brunei Darussalam, Persatuan Persahabatan Brunei-China dan Mobitech, untuk didermakan kepada orang yang memerlukan semasa penularan wabak COVID-19 ini.

Sumbangan berkenaan diserahkan bagi kempen sumbangan pandu lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Sumbangan yang dihulurkan adalah berupa pek makanan seperti makanan kering, mi segera, air mineral dan barang-barang keperluan anak damit seperti lampin dan susu tepung.

Hadir bersama untuk menyerahkan sumbangan daripada pelbagai pihak berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.

Turut sama semasa majlis penyerahan itu ialah Pengiran Mohammad Al Nizar bin Pengiran Azahari selaku ketua Unit Sumbangan Pandu Lalu Sukarelawan Belia.

Tujuan utama bagi sumbangan ini adalah untuk bersama membantu pihak kerajaan menghulurkan sumbangan berupa barang-barang asasi bagi masyarakat yang memerlukan semasa penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sumbangan Pandu Lalu itu inisiatif Sukarelawan Belia Brunei dan disokong oleh KKBS bermula 9 September lalu.

Sumbangan yang diperlukan berupa pek makanan seperti beras, gula, makanan dalam tin, mi segera, nescafe, teh, milo, kopi, telur, biskut, air mineral, ubi kentang dan minyak masak.

Objektif utama kempen adalah untuk menyediakan sebuah platform khusus untuk mengumpulkan sumbangan dari orang ramai yang berniat untuk membantu masyarakat yang memerlukan ketika penularan wabak COVID-19.