Agih bendera kecil di sekolah

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 16 FEB – Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera bagi Pelajar-pelajar Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Sekolah Ugama dan Sekolah Arab telah berlangsung secara serentak di keempat-empat daerah dengan tumpuan utama di Daerah Belait, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis tersebut yang berlangsung di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut, Kuala Belait ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku timbalan pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, Tahun 2020.

Di Daerah Brunei dan Muara, tumpuan acara berlangsung di Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun dan hadir selaku tetamu kehormat majlis  ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut.

Di Daerah Tutong pula, acara seumpamanya diadakan di Sekolah Chung Hwa, Kiudang, Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Manakala di Daerah Temburong, majlis berlangsung di Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Sekolah Persediaan Arab Temburong, di mana menyaksikan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Antara pengisian majlis ialah pengagihan bendera kecil meja kepada pelajar-pelajar sekolah, wakil sekolah-sekolah di daerah tersebut dan persatuan-persatuan belia yang
dijemput.

Selain itu, tayangan video animasi, tatacara pengibaran bendera yang sempurna dan semangat pengibaran bendera yang diselenggarakan oleh Jabatan Penerangan mengenai dengan pengibaran bendera turut dimuatkan dalam majlis ini sebagai usaha bagi menyemai kecintaan dan rasa patriotisme dalam jati diri belia daripada akar umbi.

YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz mengagihkan bendera kecil kepada pelajar.