Agih bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan

IPOH – Setiap kali kedatangan bulan Ramadan, Masjid India Muslim Ipoh mengagihkan menu istimewa bubur lambuk daging kambing kepada orang ramai, namun berbeza tahun ini apabila bubur tersebut diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang kini sedang ‘bertempur’ melawan pandemik COVID-19.

Pengerusi masjid berkenaan, Shaik Mujibur Rahman Mohd Yusoff berkata tiga orang tukang masak ditugaskan untuk memasak dua periuk besar bubur lambuk menggunakan resipi turun temurun lebih 100 tahun berasal dari India. Beliau berkata lebih 45 bahan termasuk rempah ratus yang dibuat sendiri digunakan untuk penyediaan kira-kira 300 bekas bubur lambuk setiap hari.

“Disebabkan bulan Ramadan tahun ini berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita mengagihkan pula kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani wabak COVID-19 di sekitar bandar raya Ipoh.

“Kami memasak seawal 9 pagi dan mengedarkan bubur lambuk bermula pukul 3 petang ke balai polis, petugas yang bertugas di sekatan jalan raya serta petugas kesihatan di hospital dan klinik kerajaan… ada juga anggota dari balai polis yang datang sendiri ke sini untuk mengambil bubur lambuk,” katanya ketika ditemui media.

Shaik Mujibur Rahman berkata pada tahun sebelum ini, pihaknya bersama ahli jawatankuasa masjid berkenaan memasak lapan periuk besar bubur lambuk untuk diagihkan kepada kira-kira 1,000 orang setiap hari.

“Walaupun ada (orang ramai) yang meminta kami mengagihkan kepada mereka, tetapi kami tidak dapat melakukannya kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, jika ada arahan terbaharu daripada kerajaan yang membolehkan agihan (bubur lambuk) kepada orang awam, kami akan lakukannya,” katanya. – Bernama

Shaik Mujibur Rahman Mohd Yusoff (dua, kanan) bersama setiausaha masjid Hamid Khan Salleh (kanan) menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan. – Bernama
Shaik Mujibur Rahman Mohd Yusoff (kanan) bersama Hamid Khan Salleh memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 sekitar bandar raya Ipoh. – Bernama