Agih keperluan asas kepada warga emas

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

TEMBURONG, 12 OGOS – Buzzing Bees, yang diketuai oleh pemimpin pelajar Dayang Nurul Hazwani Halid, baru-baru ini telah menyusuri pedalaman Daerah Temburong bagi mengagihkan keperluan asas bagi 20 orang warga emas terpilih di Mukim Labu dalam Program Jambatan Ke Syurga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sumbangan ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman. Turut hadir ialah Penghulu Mukim Batu Apoi Haji Matzain bin Haji Awang , pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Temburong dan pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Daerah Temburong.

Sebuah perusahaan sosial yang ditubuhkan oleh 15 orang pelajar,Buzzing Bees terus melakukan kerja amal mereka untuk meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik dalam pendekatan Nation mereka, yang telah di ilhamkan oleh bekas pensyarah UBD, Allahyarhamah Dr Hajah Sainah binti Haji Saim.

Mereka berada di Mukim Labu untuk membekalkan keperluan harian tersebut dengan sokongan Pemangku Penghulu Mukim Labu, Haji Sulaiman bin Nasir dan JAPEM Daerah Temburong. Program Jambatan Ke Syurga adalah salah satu titian amal bagi generasi muda meraih pengalaman di samping dorongan mendekatkan mereka dengan masyarakat kampung sekali gus menyemai sifat kekitaan di kalangan mereka.

Penyerahan sumbangan kepada beberapa penerima warga emas dalam Program Jambatan Ke Syurga.