Agihan saksama vaksin COVID-19 perlu bagi APT

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Host Photo

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – ASEAN Plus Three (APT) akan terus relevan sebagai pemangkin pertumbuhan bagi pembangunan di rantau Asia Timur, bekerjasama rapat dan keupayaan bersepadu ketika berhadapan krisis yang menjadi tanda kejayaannya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021, mengulangi semula kerelevanan APT itu semasa bertitah pada Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-24 yang berlangsung secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman hari ini.

Ia dapat dilihat melalui tindak balas cepat terhadap penularan COVID-19 dan usaha bersepadu ke arah pemulihan serantau, titah Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menekankan kepentingan memastikan vaksin COVID-19 dihasilkan dan diedarkan secukupnya kepada semua yang memerlukan di rantau ASEAN, memandangkan kemunculan varian-varian COVID-19 di rantau ASEAN.

Selain itu, Baginda berpandangan bahawa kemunculan dan pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tepat pada masanya akan dapat mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi serantau.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three.
Baginda Sultan bersama para pemimpin lainnya semasa sidang tersebut.

Baginda sebelum mengakhiri titah, turut menekankan kepentingan untuk kerjasama ekonomi digital diperkukuhkan bagi meraih manfaat Revolusi Perindustrian ke-4.

Sementara Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Moon Jae-in selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog APT dalam kenyataannya menyokong pemulihan inklusif APT melalui pengagihan vaksin yang saksama dan tepat pada masanya, penyelarasan mekanisme yang berkaitan, serta penyejajaran strategi di bawah New Southern Policy Plus dan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN.

Republik Korea mengesahkan komitmennya untuk meningkatkan bantuan pembangunan luar negara dalam bidang perubahan iklim, penjagaan kesihatan dan ekonomi digital. Selain itu, Republik Korea juga berharap Pelan Kerja APT untuk 2023-2027 akan menggabungkan cara-cara bagi menggalakkan pertumbuhan inklusif untuk membina semula dengan lebih baik.

Ini diikuti dengan ucapan Perdana Menteri Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Keqiang, yang menghargai keazaman APT untuk bekerjasama dan kemajuan usaha sama dalam tindak balas terhadap pandemik COVID-19.

China turut menyatakan sokongannya terhadap bekalan vaksin dan bahan anti-COVID untuk mengelakkan kekurangan bekalan serta lorong hijau dan berharap meningkatkan kestabilan rantaian bekalan di rantau ini melalui langkah-langkah pembendungan.

Manakala Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida, menggalakkan sokongan perubatan lebih lanjut di kalangan APT ke arah mencapai liputan kesihatan sejagat, serta keperluan pemulihan ekonomi melalui peluasan pelaburan dalam infrastruktur berkualiti dan kepelbagaian rantaian bekalan.

Beliau juga menekankan bahawa ASEAN Outlook on the Indo-Pacific berkongsi prinsip asas yang sama dengan Free and Open Indo-Pacific, yang penting untuk keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau.

Pada sidang kemuncak itu, pemimpin-pemimpin APT menggesa untuk mempercepatkan pemulihan sosioekonomi melalui pengukuhan penyelarasan dasar dan pelaksanaan rangka kerja dan mekanisme serantau di kalangan negara APT.

Sehubungan itu, adalah penting bagi APT untuk mendalami integrasi serantau dan bergerak ke arah mempertingkatkan pendekatan baharu dan fleksibel bagi penyesuaian dengan norma baharu. Pemimpin APT juga menyokong integrasi serantau yang lebih mendalam melalui peningkatan kerjasama dan pembangunan kapasiti dalam bidang-bidang kesihatan mental, ekonomi digital, pertanian dan bandar pintar.

Pada penghujung sidang kemuncak tersebut, Kenyataan: ASEAN Plus Three Leaders’ Statement on Cooperation on Mental Health Amongst Adolescents and Young Children telah diluluskan.