AGM pantau perkembangan perkhidmatan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Dengan matlamat untuk meninjau perkembangan perkhidmatan khususnya dalam melayani masyarakat dan negara amnya semasa berdepan pandemik COVID-19 pada tahun sebelumnya, Kumpulan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi tahun 2021, hari ini.

Hadir dalam majlis mesyuarat agung berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi BIBD dan kumpulan syarikatnya, dan ahli-ahli anggota Badan Penasihat Syariah BIBD serta perwakilan yang terlibat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD di sini, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata meskipun terdapat cabaran yang berlaku akibat pandemik global, namun kedudukan kewangan BIBD dilihat kekal berdaya tahan dan terus mencatat keuntungan yang tinggi pada tahun 2020.

“Pengelolaan kewangan yang berhemah berdasarkan peningkatan risiko dan inisiatif yang berfokus kepada aspek masyarakat adalah pemacu utama pengurusan pada tahun 2020.

Dalam pada itu, adalah menjadi langkah-langkah keutamaan BIBD, dalam menyediakan persekitaran kerja dan perniagaan yang selamat untuk para kakitangan dan pelanggan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua bergambar ramai bersama wakil BIBD. – Gambar serahan BIBD

“Sebagai rakan dalam kemajuan, BIBD menyokong permintaan kerajaan dengan melancarkan pakej ‘COVID-19 Relief’ untuk para pelanggannya, iaitu sebagai inisiatif untuk masyarakat Brunei yang mana salah satu platform dalam talian untuk mewujudkan saluran kemudahan dan juga menyokong perniagaan-perniagaan home-based dan kecil-kecilan semasa menghadapi krisis pandemik, dan BIBD Youth Empowerment Summit (YES!) juga dilaksanakan sebagai satu pengiktirafan betapa pentingnya belia untuk masa depan BIBD dan Negara Brunei Darussalam secara keseluruhan,” ujar Yang Berhormat Dato lagi.

Kenyataan turut menyatakan bahawa pada tahun 2020, kumpulan BIBD mencatatkan pendapatan $329 juta, memperoleh keuntungan bersih sebanyak $136 juta dengan jumlah aset tetap kukuh pada $9.7 bilion.

Manakala kumpulan BIBD juga memberikan Return on Equity (ROE) yang kukuh kepada pemegang sahamnya pada kadar 10.7 peratus sekali gus meningkatkan pulangan dan nilai kepada pemegang saham mereka. Menerusi perjumpaan tersebut, para pemegang saham diberi penyata kewangan untuk tahun berakhir 2020 dan meluluskan dividen akhir sebanyak 17.40 sen ($ 0.174) setiap saham (per share).

Sehubungan dengan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar turut menyatakan bahawa BIBD akan sentiasa meneruskan peranannya sebagai rakan kongsi dalam kemajuan negara pada masa depan demi menyokong usaha untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, di samping berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Maqasid Syariah.

“Pada masa yang sama, kami akan memperluas komitmen kami terhadap kelestarian dengan menerajui pelbagai inisiatif dan amalan yang akan menyumbang kepada United Nations Sustainable Development Goals (UN SDG),” tambahnya.

Ujarnya lagi, BIBD sangat menghargai sokongan dan bimbingan pihak lembaga dan badan penasihat syariah, serta menghormati para pengawal selia dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.