PUTRAJAYA, 26 SEPT – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 yang berlangsung di Putrajaya dari 25 September hingga 30 September.
Baginda diiringkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah bertitah berharap agar Simposium Tekstil Tradisional ASEAN dwitahunan itu akan terus diadakan di negara lain pada masa hadapan dengan menghimpunkan penggiat seni tekstil dari ASEAN dan rantau lain untuk berkongsi maklumat mengenai keunikan tekstil masing-masing.
“Sambutan untuk acara ini amat menggalakkan dengan lebih 300 peserta. Saya berharap semua peserta akan bergembira di sini,” kata Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka baginda turut mengucapkan tahniah kepada Tunku Azizah dan pasukannya atas usaha mereka dalam menganjurkan acara dengan jayanya.
“Beta perlu memberitahu bahawa Raja Permaisuri sangat sibuk dalam memastikan simposium ini berjaya. Beta ingin berkongsi bahawa beta melihat betapa mendalamnya minat Raja Permaisuri untuk memastikan kejayaan acara ini, baginda kadang-kadang tidak dapat tidur pada waktu malam,” titah Al-Sultan Abdullah.
Simposium berkenaan dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja, mempamerkan keindahan tekstil Malaysia termasuk songket dan batik selain teknik pembuatan tekstil warisan Melayu seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.
Sempena simposium itu, 19 kertas kerja akan dibentangkan oleh wakil 13 negara termasuk Brunei, Indonesia, Kemboja, Kanada, India, Filipina dan Myanmar, khususnya untuk membincangkan mengenai pemeliharaan seni dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN.
Sementara itu, Tunku Azizah yang merupakan pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha dalam menyokong dan memelihara seni kraf tekstil berkenaan.
“Dari lubuk hati beta, beta ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan. Terima kasih banyak-banyak. Kita harus memelihara apa sahaja yang kita ada untuk generasi akan datang,” titah Tunku Azizah. – Bernama