Agong berkenan terima darjah D.K.M

KUALA LUMPUR, 11 JULAI – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) daripada kerajaan Malaysia.

Dalam istiadat yang berlangsung di Istana Negara itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N).

Istiadat persembahan darjah kebesaran kepada Seri Paduka berdua disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili kerajaan.

Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lepas dan Seri Paduka melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari. Istiadat pertabalan baginda dijadualkan berlangsung pada 30 Julai ini.

Majlis persembahan darjah kebesaran itu turut disaksikan isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut hadir pada istiadat berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – Bernama

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) daripada kerajaan Malaysia yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Istiadat Persembahan Darjah Kebesaran Persekutuan, Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) dan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) di Istana Negara kelmarin. – Bernama