Agong, Permaisuri Agong jalani kuarantin

KUALA LUMPUR, 26 MAC – Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang menjalani kuarantin selama 14 hari selepas beberapa kakitangan istana dijangkiti COVID-19, kata istana negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua telah menjalani saringan kesihatan dan disahkan negatif COVID-19, kata Pengawal Keluarga Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong dinasihatkan supaya mengelak daripada mengadakan mesyuarat pra-kabinet mingguan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehingga krisis COVID-19 berakhir.

“Sementara menyokong pelanjutan perintah kawalan pergerakan kepada 14 April oleh kerajaan, baginda (raja) juga meluahkan harapan supaya semua rakyat Malaysia akan bersikap tegas dalam menghadapi masa yang sukar ini dan meneruskan sokongan dan kerjasama mereka kepada pekerja penjagaan kesihatan dan kakitangan keselamatan,” kata beliau.

Malaysia telah melaksanakan ‘perintah kawalan pergerakan’ sejak 18 Mac, termasuk menutup kedai dan sekolah serta mengenakan larangan perjalanan.

Ia menggesa penduduk supaya tinggal di dalam rumah dalam usaha untuk membendung wabak COVID-19.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata menerusi media sosial bahawa beliau telah menjalani kuarantin 14 hari selepas mempunyai kontak dengan seorang ahli parlimen yang seterusnya diuji positif dijangkiti penyakit itu.

Media tempatan melaporkan bekas perdana menteri yang berusia 94 tahun itu telah diberikan pelepasan oleh pihak berkuasa kesihatan selepas diuji negatif. – Xinhua

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah beredar selepas berkenan melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) di Putrajaya. – Bernama