BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – AGROME IQ, sebuah platform perniagaan pertanian dan data analitik di negara ini berjaya muncul sebagai finalis dalam pertandingan ‘ASEAN Create@Alibaba Cloud Startup Competition (CACSE)’ tahun ini yang akan berlangsung di WORQ, Kuala Lumpur, Malaysia , esok.
Menurut kenyataannya, di sini, pertandingan tersebut merupakan satu siri pertandingan bagi usahawan global yang ditaja oleh Kumpulan Alibaba yang merupakan antara usahawan terbaik dalam bidang teknologi dengan kerjasama media terkenal, pelabur dan rakan kongsi peringkat tertinggi dari seluruh dunia. Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AGROME IQ, Vanessa Teo “Kami diberi penghormatan kerana terpilih sebagai finalis pertandingan berprestij yang memberikan kami platform untuk berkongsi visi dan membawa produk tempatan untuk dipamerkan di peringkat dunia.”
Finalis akan bersaing dengan memberikan idea mereka bagi merebut gelaran juara Pertandingan Divisyen ASEAN yang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$50,000 untuk sumber produk maya dari Jabatan Antarabangsa Alibaba Cloud. Selain itu, juara pertandingan itu juga berpeluang untuk memulakan latihan bagi meningkatkan perniagaan mereka sebelum pertandingan kejohanan dunia di Shanghai, China.