Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Agroteknologi main peranan perkembangan sektor pertanian

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan UTB

    Kewujudan teknologi telah memberi impak besar dalam setiap aspek kehidupan, di mana dengan perkembangan inovasi teknologi masa kini agroteknologi memainkan peranan penting dalam pembangunan industri pertanian.

    Penggunaan teknologi membawa banyak faedah kepada industri pertanian negara, antara lain dalam meningkatkan produktiviti dan output, memastikan pertanian lebih berdaya tahan, menguntungkan, cekap, selamat dan mesra alam, menghasilkan makanan yang kos efektif, berkualiti dan berkhasiat serta menyediakan sekuriti makanan untuk penduduk global yang semakin meningkat.

    Kepentingan teknologi telah diakui dan diiktiraf oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) sejak awal penubuhannya, seperti yang terkandung dalam pernyataan visi dan misi pelan strategik kementerian.

    Perkara berkenaan diungkapkan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, semasa menyampaikan ucapan bagi merasmikan Persidangan Antarabangsa Borneo mengenai Agroteknologi (BICAT) 2022 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan penekanan utama pelan strategik KSSUP yang menjadi prinsip panduan dalam perancangan dan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif kementerian, adalah untuk meningkatkan pengeluaran daripada sumber utama dan industri pelancongan, dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan dan kepelbagaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf semasa menyampaikan ucapan perasmian semasa berlangsungnya BICAT 2022 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.
    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf semasa sesi bergambar ramai semasa acara tersebut.
    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf ketika hadir pada BICAT 2022.
    Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Justeru, ujarnya lanjut, salah satu cara yang dikenal pasti untuk mencapai sasaran ini adalah melalui penggunaan teknologi, selain menggalakkan penglibatan pelaburan langsung tempatan dan asing.

    “Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, teknologi pertanian telah menyaksikan pertumbuhan besar dalam pelaburan global. Inovasi teknologi utama telah memberi tumpuan di sekitar kawasan penanaman secara menegak (vertical farming) tertutup, automasi dan robotik, teknologi ternakan, amalan rumah hijau moden, precision farming dan kecerdasan buatan, serta pengurusan rantaian blok.

    “Dalam hubungan ini, saya gembira kerana dalam tempoh lima tahun yang lalu, penggunaan teknologi dalam sektor pertanian dan perikanan kita telah menunjukkan peningkatan yang positif. Kementerian akan terus menggalakkan penggunaan teknologi dalam usaha meningkatkan lagi pengeluaran dan produktiviti ladang,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan beberapa contoh teknologi yang sedang digunakan, antara lain termasuk penanaman jenis hidroponik tertutup dan menegak, rumah hijau dengan sistem fertigasi automatik untuk menanam tembikai, rumah hijau dengan sistem kawalan suhu automatik di ladang semaian hortikultur, penanaman secara hidroponik dan menegak dalam rumah hijau dengan teknologi pertanian pintar menggunakan Internet of Things (IoT) untuk menanam sayur-sayuran bernilai tinggi, sistem rumah tertutup yang kini digunakan oleh kebanyakan pengusaha ladang ayam dan pelaksanaan Recirculating Aquaculture System (RAS) di pusat penetasan dan tapak semaian, iaitu dalam industri akuakultur.

    “Dengan penggunaan teknologi, bekerja sebagai petani dalam sektor pertanian, kini tidak lagi perlu bekerja di bawah terik matahari dan membosankan seperti dahulu,” tambahnya.

    Penggunaan teknologi dan teknik pertanian moden jelas Yang Berhormat Dato, akan menjadikan peluang pekerjaan atau perniagaan dalam bidang pertanian dan akuakultur, sekali gus diharapkan akan dapat menarik lebih ramai penduduk tempatan, khususnya belia, untuk menceburi bidang ini dan menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa untuk menjana pendapatan.

    “Saya berharap lebih ramai usahawan dan petani dalam bidang pertanian dan juga dalam sektor perikanan, yang masih belum mengamalkan penggunaan teknologi, termasuk mereka yang berminat dan sedang berfikir untuk menceburi bidang pertanian dan perniagaan perikanan, bagi tampil ke hadapan dan meneroka peluang ini,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan kegembiraan bahawa sektor pertanian dan perikanan negara telah mampu mencatatkan pertumbuhan positif sejak dua tahun lalu.

    Secara keseluruhannya, jelasnya, keluaran kasar industri pertanian dan agrimakanan telah meningkat pada kadar purata 17.1 peratus setahun daripada $428 juta pada 2019 kepada $587 juta pada 2021; dan industri perikanan sahaja telah meningkat pada kadar purata 38.2 peratus setahun daripada $100 juta pada 2019 kepada $191 juta pada 2021.

    Sehubungan itu ujar Yang Berhormat Dato lagi, KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dan Jabatan Perikanan, akan meneruskan usaha untuk mengenal pasti strategi dan inisiatif baharu bagi memastikan keluaran sektor-sektor ini akan terus berkembang dari tahun ke tahun, dan terus menyumbang dengan ketara ke arah pertumbuhan dan kepelbagaian KDNK, seterusnya menyokong objektif Wawasan Brunei 2035 dan agenda sekuriti makanan.

    Tambahnya, peranan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Brunei dalam bidang agroteknologi adalah sangat penting dalam menyokong visi dan misi kementerian ke arah meningkatkan output daripada industri pertanian dan perikanan.

    Dalam hal ini, Yang Berhormat Dato di penghujung ucapan turut menyeru, institusi pengajian tinggi untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan mengenai inovasi teknologi bagi membantu kementerian mencari teknologi yang sesuai yang boleh diperkenalkan kepada usahawan dan petani tempatan negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...