BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Bagi meninjau secara lebih dekat mengenai peranan dan fungsi yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA), khususnya dalam bidang pembangunan kapasiti warga perkhidmatan awam, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah mengadakan lawatan kerja ke institut berkenaan di Rimba, baru-baru ini.
Sesi dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Pengarah IPA, Hajah Norezan binti Haji Hambali yang mengongsikan mengenai maklumat korporat, peranan dan fungsi, fokus pelaburan bagi Tahun Kewangan 2019/2020, langkah-langkah strategik dan holistik, serta rencana masa depan Institut mendokong Wawasan Brunei 2035 dan pendekatan senegara yang menyeluruh (whole-of-nation).
Menurut kenyataan IPA, antara perkara yang dikongsikan semasa sesi taklimat berkenaan ialah usaha-usaha ke arah meningkatkan kemahiran warga perkhidmatan awam yang menyumbang pada peningkatan produktiviti dan prestasi perkhidmatan awam.
Ini termasuklah menjalankan program pembelajaran yang strategik dan berimpak tinggi dalam bidang urus tadbir dan dasar, kepimpinan strategik dan inovasi dan pembangunan organisasi sejajar dengan visi institut berkenaan untuk menjadi pusat kecemerlangan bagi pembangunan sumber manusia dan organisasi menjelang tahun 2020.
Semasa lawatan kerja berkenaan, ahli-ahli MMN berpeluang untuk meninjau secara lebih dekat beberapa fasiliti yang terdapat di institut berkenaan, termasuk surau, perpustakaan, dewan-dewan utama dan bilik-bilik kuliah yang telah dinaik taraf dalam menyokong keselesaan pembelajaran bagi pelbagai program termasuk program pembangunan kepimpinan dan eksekutif yang kian meningkat kepentingannya setiap tahun.
Ahli-ahli MMN juga berkesempatan menyaksikan aktiviti-aktiviti program Bengkel Mentoring yang dijalankan sebelum mengakhiri sesi lawatan tersebut.
Kenyataan menyatakan bahawa lawatan kerja tersebut antara lain bertujuan untuk mengongsikan maklumat terkini berkaitan dengan perkembangan strategi dan inisiatif pembangunan untuk sumber manusia di negara ini.