Ahli angkat berat amatur tepis stigma

SHANGHAI – Di sebuah gimnasium bawah tanah di Shanghai, ahli angkat berat amatur menopang dua beban berat iaitu batang besi dan plat yang mereka angkat dan stigma yang sudah lama berakar dalam kepercayaan Cina bahawa sukan tersebut akan menyebabkan pengamalnya menjadi pendek dan gemuk.

Walaupun China sekali lagi mendominasi acara angkat berat di Olimpik Tokyo, tetapi di negara sendiri, para amatur berdepan dengan kesalahfahaman.

“Anda melihat atlet angkat berat mempunyai pinggul dan kaki yang besar, muka merah ketika mengangkat berat di platform di Sukan Olimpik,” kata Gabriella Qu, pengasas Venus Weightlifting di Shanghai.

“Orang akan berkata pada saat itu, ‘Itu bukan sesuatu yang bagus. Bukan imej yang saya inginkan untuk diri saya,” tambahnya.

Terutama bagi ahli angkat berat wanita di China, di mana kecantikan fizikal biasanya disamakan dengan memiliki badan yang langsing dan ahli angkat berat sering dipandang rendah.

Xu Weiya, 28, yang terinspirasi untuk mula giat dalam angkat berat oleh suaminya, seorang angkat berat amatur yang kompetitif, mengatakan ibu bapanya mempunyai ‘banyak komen’ mengenai hobinya yang baharu.

James Brennan mengikuti pertandingan angkat berat di Venus Weightlifting di Shanghai. – AFP
Kelihatan seorang pengangkat berat bertanding di gim Venus Weightlifting di Shanghai. – AFP
Gabriella Qu (tengah), pengasas Venus Weightlifting, bersorak untuk ahli angkat berat. – AFP

Tidak sesuai untuk kamu

“Ibu saya berkata kepada saya, atlet angkat berat semua pendek dan tegap, tidak sesuai untuk kamu,” kata Xu, dengan alasan kepercayaan umum bahawa ‘gadis tidak boleh melakukan jenis senaman seperti itu’.

Qu, 32, seorang pengangkat berat dan juga pelatih, mengatakan dia membuka Venus Weightlifting pada tahun 2015 sebahagiannya untuk membantu membetulkan kesalah fahaman dengan meningkatkan kesedaran tentang sukan sebagai bentuk latihan yang sihat.

China, yang kini menambah pingat emas melalui acara angkat berat di Tokyo, adalah kuasa besar dalam sukan ini, atletnya sering dipilih mengikut jenis badan dan dilatih dari usia muda melalui program sukan yang dikendalikan oleh negara.

Tetapi ketersediaan sukan untuk ‘orang normal’ tetap terhad, dengan tempat yang agak terhad, kata Qu.

“Apa yang orang ramai tahu tentang sukan angkat berat adalah dari menonton Olimpik,” kata Lu Siyao, 28, suami kepada Xu.

“Atlet ini dipilih secara khusus dari jenis badan mereka,” kata Lu, sambil menambah di tahap elit lebih banyak jisim otot per inci persegi pada kerangka seseorang biasanya pasti akan memenangi pertandingan.

“Tetapi itu membuatkan banyak penonton menilai sukan ini hanya untuk pesaing di peringkat tertinggi sahaja,” katanya.

“Namun, bagi golongan amatur seperti kami, badan kami sudah seperti ini,” tambahnya. “Tidak kira berapa kuat kami berlatih, kita tidak dapat mengecilkan diri atau membuat kaki kita lebih pendek.”

Namun, ramai di Venus Weightlifting berharap kejayaan Olimpik China akhirnya memupuk rasa bangga dan membuat orang lebih terbuka terhadap sukan ini.

Ditanya adakah dia bimbang tentang stereotaip negatif, Xu, mengatakan dia lebih suka mengabaikan apa saja pandangan masyarakat tradisional.

“Angkat berat tidak menjadikan anda pendek dan gemuk. Ia hanya boleh menjadi kita lebih sihat dan lebih cergas,” katanya.

“Dan kita harus sedar bahawa kecantikan tidak hanya datang dalam satu bentuk.” – AFP