TAIYUAN, 11 APRIL – Tiga kubur yang dipercayai dari Dinasti Tang (618-907) telah ditemui di wilayah utara China, Shanxi, menurut institut arkeologi wilayah.
Ahli arkeologi berkata kubur tersebut ditemui dua kilometer di barat perkampungan Houzhai, bandar Shuozhou dan terletak di kawasan utama di mana budaya pertanian dan nomad bercampur pada zaman dahulu.
Berdasarkan bentuk, ciri dan gaya perkuburan tersebut, ahli arkeologi mengandaikan bahawa dua daripada tiga pemilik kubur itu adalah pasangan suami isteri. Peninggalan yang turut dijumpai termasuklah tembikar, barangan lakuer, perkakas besi, alat batu, syiling tembaga, perhiasan perak, sikat tulang dan periuk berbentuk menara.
“Periuk berbentuk menara tidak pernah dijumpai di kuburan sebelum Dinasti Tang,” kata Gao Zhenhua, pegawai dari institut tersebut, menambah ia adalah objek baharu yang berasal dari dinasti itu disebabkan pengaruh adat pengebumian tradisional dan kedatangan agama Buddha.
“Dipercayai bahawa objek akan membantu si mati makan dan minum di alam lain.
“Berdasarkan masa, skala, persekitaran sekeliling dan jumlah barangan yang ditemui, pemilik kubur adalah orang kebanyakan,” kata Gao. – Xinhua