Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Kursus memanjat pokok yang disertai oleh ahli-ahli dari Persatuan C.A.R.E Brunei Darussalam dan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah diakhiri hari ini dengan majlis penyampaian sijil tamat kursus yang berlangsung di Ibu Pejabat PPNBD, Beribi.
Kursus selama dua hari bermula semalam itu telah dimudahcarakan oleh para pelatih dari Malaysia yang mempunyai pengalaman dan kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk melatih para peserta yang belum mempunyai pengalaman memanjat pokok (tree climbing) menggunakan peralatan khusus.
Antara fokus utama latihan ini adalah supaya para peserta dapat mempraktikkan lagi bagaimana memanjat atau menggunakan tali untuk menaiki pokok menggunakan sistem yang betul mengikut standard antarabangsa dan juga mengambil kira akan keselamatan.
Kursus berkenaan turut dimuatkan dengan pelbagai aktiviti yang dibahagikan kepada dua sesi, yang antaranya adalah pengenalan dan praktikal merangkumi latihan memanjat pokok, tendangan Texas, Lazy Frog Climbing.
Manakala pada sebelah malam, para peserta diberi pengenalan mengenai aktiviti Caving dan Canyoning serta memaparkan video mengenai dengan aktiviti memanjat pokok.
