Ahli keluarga jadi tukang gunting

Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Sejak penutupan sementara premis-premis kesihatan dan kecantikan (EKK) seperti salun kecantikan, kedai gunting rambut, spa dan perkhidmatan urut berikutan gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini, ramai yang terpaksa menggunakan khidmat ahli keluarga sebagai tukang gunting rambut.

Ini dapat dilihat menerusi perkongsian yang telah dibuat di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai dengan yang mengusik, memberi galakkan, pujian dan tidak kurang juga kritikan.

Sebilangan ibu bapa juga mengongsikan pengalaman dan teknik mereka menggunting rambut anak-anak mereka.

Seorang bapa yang ditemu bual, Haji Shahrin bin Haji Asmat menjelaskan, ini bukan pengalaman pertama beliau mengunting rambut anaknya yang mana pengalaman pertama pada 2020 iaitu semasa gelombang pertama pandemik di negara ini.

Menurutnya, beliau juga membuat rujukan di YouTube untuk melihat teknik dan fesyen yang mudah untuk peringkat permulaan dan dari sana belajar perlahan-perlahan, walaupun hasilnya tidak sekemas seperti yang dibuat oleh tukang gunting yang mahir.

Semasa pandemik ini, ibu bapa terpaksa menjadi tukang gunting rambut di rumah.
Potongan rambut tahap 1 atau 2 menjadi pilihan semasa pandemik ini kerana lebih mudah dilakukan di rumah.

Dengan membuatkan golongan ayah terjun ke dalam bidang mengunting rambut semasa pandemik ini, anak-anak akan lebih menghargai usaha yang telah dilakukan oleh orang tua mereka sekali gus semakin erat lagi hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, jelasnya.

Si ibu turut mengongsikan pengalaman mengunting rambut anak lelakinya, walaupun pengalaman pertama, hasilnya mampu memberi kegembiraan kepada anak-anak.

“Mungkin pandemik ini memberi kesedaraan kepada kita akan tanggungjawab sebagai seorang ibu yang mana keadaan ini telah mengimbas semula semasa zaman dulu di mana semuanya dilakukan sendiri,” tambah beliau.

Keputusan dibuat untuk mencuba memotong rambut anak sendiri, setelah melihat anak-anak sudah mula rimas dengan rambut yang panjang, lebih-lebih lagi mereka yang jenis rambut tebal. Beliau berusaha melihat video di YouTube dan TikTok cara mengunting dan fesyen rambut terkini.

Untuk memastikan hasil yang boleh memberi keceriaan kepada anak-anaknya, beliau memastikan semua peralatan yang digunakan berfungsi dengan baik terutama untuk mesin mengunting rambut .

“Seperti ibu bapa yang lain, pasti ada terdetik dalam hati jika ia tidak menghasilkan potongan rambut seperti yang harapkan, terpaksa di gunting habis tapi Alhamdulillah anak-anak bersyukur dengan usaha yang telah dibuat,” tambahnya.

Bagi kanak-kanak berusia sembilan tahun, Awang Ahmad Abrar berpendapat bahawa meminta ayahnya mengunting rambut juga boleh merapatkan silaturahim dengan keluarga.

Manakala itu, salah sorang kakitangan di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Hanafi bin Haji Zaini berkata, suami yang mengunting rambut isteri sekurang-kurangnya dapat bermanja dengan isteri dan ini antara sunnah yang dianjurkan oleh Nabi kepada umatnya.

“Ada sebahagian daripada mereka yang lebih selesa mencukur rambut dan berketerampilan botak, memang tidak menjadi satu masalah bagi mereka. Dan ada yang memotong tahap 1 atau 2 lebih tepat hampir botak juga menjadi pilihan pada musim COVID-19 ini,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, masalah yang dihadapi orang ramai sekarang ialah kehabisan alat pemotong rambut di kedai-kedai elektronik.

Perkara ini dikongsikan oleh beberapa kedai elektronik kepada media di mana alat pemotong rambut atau hair clipper telah laku dijual dalam beberapa hari kebelakangan.

Biasanya, jualan alat berkenaan mengambil masa berbulan-bulan lamanya, ada kalanya mengambil masa bertahun untuk menghabiskan stok lama.

Menurut kakitangan salah sebuah kedai elektronik di Gadong, mereka telah membuat tempahan baharu untuk mesin mencukur rambut berkenaan, bagi memenuhi permintaan orang ramai.

“Kami juga tidak menyangka mesin ini akan menjadi pilihan utama pada musim gelombang kedua pandemik kali ini,” tambahnya.