Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Ahli kor akhiri lawatan ke Miri

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Ahli-ahli Kor Diplomatik di Negara Brunei Darussalam yang menyertai rombongan lawatan pengenalan selama dua hari ke Miri, Sarawak, Malaysia yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah menyertai pelbagai kegiatan yang diaturkan.

    Lawatan itu bertujuan untuk memperkenalkan ahli-ahli kepada Miri yang merupakan sebuah bandar di Sarawak, Malaysia yang paling dekat dengan Negara Brunei Darussalam, dan destinasi popular di Malaysia.

    Miri merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak dan merupakan tempat kelahiran industri minyak dan gas Malaysia. Di samping itu, Miri juga memainkan peranan penting dalam industri perkayuan, kelapa sawit dan pelancongan.

    Sehubungan itu, lawatan berkenaan diadakan bagi memberikan gambaran terhadap pentadbiran dan aktiviti ekonomi yang terdapat di bandar tersebut.

    Semasa lawatan pengenalan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam telah mengatur pelbagai program termasuk sesi penglibatan dengan pihak berkuasa tempatan dan lawatan ke beberapa destinasi ekopelancongan. Antara lokasi yang sempat dikunjungi oleh rombongan seramai 29 orang daripada 16 perwakilan luar negara ke Brunei Darussalam serta beberapa ahli keluarga mereka termasuklah ke Majlis Bandaraya Miri, Canada Hill, Grand Old Lady, Muzium Petroleum, Pusat Kraf tangan Miri dan Taman Negara Niah.

    Ahli rombongan bergambar ramai semasa majlis makan malam yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
    Ahli rombongan bergambar ramai di Canada Hill.
    Antara ahli rombongan merakamkan gambar semasa lawatan ke Gua Niah.

    Sejurus tiba di Miri, rombongan mula-mula dibawa ke Majlis Bandaraya Miri bagi Sesi Penglibatan dan Makan Tengah Hari di mana kedatangan rombongan yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah telah dialu-alukan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang.

    Pada sebelah petang, rombongan yang mengadakan lawatan ke Pusat Kraf tangan Miri dan turut berpeluang membeli barangan kraf tangan dan tradisi Sarawak.

    Pusat berkenaan merupakan salah satu tempat yang menjual barangan kraf tangan dan cenderamata Sarawak yang unik di mana terdapat beberapa petak jualan di dalamnya yang diusahakan oleh pengusaha tempatan yang menjual beberapa produk seperti tekstil, beg, pakaian, barangan dapur tradisional, perhiasan rumah, penggantung kunci dan cenderamata lainnya.

    Setelah itu, rombongan turut dibawa ke salah sebuah tempat bersejarah iaitu Canada Hill yang juga adalah mercu tanda Miri. Di atas bukit tersebut juga terletaknya bangunan Muzium Petroleum dan Grand Old Lady.

    Bintang Megamall turut menjadi destinasi lawatan di mana rombongan berpeluang untuk membeli-belah di gedung membeli belah yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat dan penduduk setempat yang menawarkan pelbagai barangan dan perkhidmatan.

    Pada sebelah malam, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak telah mengadakan Majlis Makan Malam yang berlangsung di Junior Ballroom, Hotel Pullman Miri Waterfront bagi mengalu-alukan kedatangan rombongan.

    Hadir semasa majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Menteri Pengangkutan Sarawak, Tuan Yang Terutama Dato Seri Lee Kim Shin; dan Adam Yii Siew Sang.

    Pelbagai persembahan tarian kebudayaan turut memeriahkan acara yang mempamerkan keunikan budaya yang terdapat di Sarawak yang dipersembahkan oleh Majlis Seni Sarawak.

    Pada hari kedua, rombongan juga berpeluang mengadakan pengembaraan yang cukup menyeronokkan ke Gua Niah sebelum berangkat pulang ke Brunei pada sebelah petangnya.

    Semasa ditemui, Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Brunei Darussalam, TYT Mejar Jeneral (B) Farhat Abbas Sani yang menyertai lawatan berkenaan memuji penganjuran program lawatan tersebut yang sungguh teratur, tersusun rapi dan berjalan dengan lancar.

    “Program lawatan ke Miri ini cukup menyeronokkan dan setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada TYT Dato’ Raja Reza yang mengundang kami menyertai lawatan pada kali ini dan memberikan peluang yang cukup bermakna kepada kami.

    “Kami berasa sungguh gembira dapat berkunjung ke Miri Sarawak yang merupakan sebuah destinasi sungguh menyeronokkan. Meskipun hanya dalam tempoh yang cukup singkat, kami telah berpeluang menyaksikan dan mengunjungi pelbagai tempat menarik di Miri.

    “Insya-Allah pada masa yang akan datang kami akan kembali ke sini (Miri) lagi bersama rakan-rakan dan keluarga,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...