Ahli kumpulan 6ixth Sense timang anak lelaki

Pemain gitar kumpulan 6ixth Sense, Gjie menyambut kelahiran anak keduanya, Luth Hadid pada 19 Julai lalu.

Isterinya, Farah Nabila Selamat atau Bella melahirkan anak damit secara normal di sebuah hospital di Bangi. Pasangan berkenaan memiliki anak perempuan, Aisya Medina yang kini berusia empat tahun.

“Alhamdulillah, rezeki saya dan isteri dapat anak kedua selepas empat tahun. Anak sulung sudah besar. Jujurnya, kami tak merancang untuk memiliki anak kedua, namun rezeki dikurniakan sepasang cahaya mata.

“Ikutkan anak kedua dijangka dilahirkan penghujung Julai, dekat pula dengan sambutan Aidiladha. Jika lahir pada tarikh 2 Julai 2020 atau 27 Julai 2020 cukup cantik angka berkenaan.

“Bagaimanapun, Luth keluar lebih awal. Jadi, ada beberapa komitmen kerja yang sudah dipersetujui awal bertindih dengan kelahirannya. Namun, saya dan isteri bersyukur atas nikmat ini,” katanya kepada media.

Gjie atau nama sebenarnya, Mohd Faiz Azizi Arlis berkata, kelahiran anak keduanya ini cukup mudah dan cepat berbanding anak pertama.

“Isteri pun tak sedar sudah mahu bersalin. Sangkaannya hanya sakit biasa, malah kami sempat pergi menjamu selera nasi kandar pada sebelah petang.

“Sebelah malamnya isteri mula mengadu sakit, jadi saya terus membawanya ke hospital. Doktor pula mempersoalkan kenapa datang lambat ke hospital kerana bukaan rahim sudah empat sentimeter.

“Alhamdulillah, lebih kurang sejam anak damit kami selamat dilahirkan. Sangat mudah,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 2015. – Agensi

Gjie (kanan) menyambut kelahiran anak keduanya, Luth Hadid baru-baru ini.