Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli majlis MPS digesa terus kerja kuat untuk rakyat

    SIBU, 26 Sept – Ahli-ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) digesa agar terus bekerja kuat untuk rakyat memandangkan perkhidmatan mereka telah dilanjutkan berkuat kuasa bulan depan hingga akhir tahun.

    Sambil mengucapkan tahniah kepada seramai 30 Ahli Majlis yang menghadiri mesyuarat penuh majlis di sini hari ini, Timbalan Pengerusi MPS, Rogayah Jamain berkata mereka telah mempamerkan prestasi kerja cemerlang bukan sahaja untuk MPS tetapi juga untuk masyarakat Sibu sejak dilantik pada 2016.

    “Saya berharap anda akan terus bekerja kuat untuk rakyat dalam tempoh perlanjutan perkhidmatan anda ini,” kata Rogayah.

    Penggal perkhidmatan Ahli Majlis bagi kesemua 26 majlis perbandaran di Sarawak sepatutnya berakhir pada 30 Jun lepas tetapi kerajaan negeri telah melanjutkan tempohnya sehingga akhir tahun.

    Rogayah berkata ahli-ahli Majlis yang telah ditugaskan di 30 zon berasingan di bawah bidang kuasa MPS itu telah terlibat aktif dan menunjukkan komitmen dalam menggubal dasar-dasar baharu dan menjadi “suara” kepada masyarakat Sibu.

    Untuk memperoleh maklumat terkini, ahli-ahli majlis telah menubuhkan kumpulan WhatsApp untuk mengikuti perkembangan isu-isu di peringkat akar umbi dan menyampaikan aduan serta permintaan orang ramai.

    “Bagaimanapun, sesetengah permintaan seperti untuk membaik pulih jalan raya atau perparitan yang mendap memerlukan perbelanjaan tinggi dan mungkin mengambil sedikit masa untuk disiapkan kerana pihak majlis perlu memberi perhatian mengikut keutamaan disebabkan kekangan kewangan yang dihadapinya,” kata beliau.

    Rogayah juga berkata pihak majlis juga belum menerima sebarang aduan berkaitan penyakit anjing gila dalam kawasan pentadbirannya.

    Pasukan penangkap anjing majlis sangat aktif menjalankan tugas di mana sebanyak kira-kira 985 ekor anjing telah ditangkap dari Januari hingga Ogos tahun ini dan sebanyak 63 ekor anjing pada bulan ini (sehingga 19 September).

    Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak MPS telah menasihati orang ramai supaya melakukan vaksinasi terhadap anjing-anjing di kawasan wabak penyakit itu, di bawah program vaksinasi yang dijalankan oleh MPS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda