Ahli MMN tinjau kawasan pertanian di Tutong

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) meneruskan lagi program lawatan siri ketiga dan terakhir bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke beberapa buah lokasi tapak-tapak perusahaan pertanian di Daerah Tutong, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu, lawatan tersebut meru-pakan lanjutan daripada beberapa siri lawatan yang telah diatur oleh pihak kementerian pada 23 Januari dan 27 Januari lalu bagi mengongsi serta memberigakan mengenai perkembangan dan pencapaian terkini aktiviti-aktiviti atau kegiatan-kegiatan perusahaan yang berkaitan dengan industri pertanian, perikanan dan pelancongan di negara ini.

Lawatan disertai seramai 14 orang rombongan ahli MMN bersama Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Setiausaha Tetap di KSSUP, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak. Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, pengarah pertanian dan agrimakanan serta beberapa orang pegawai kanan dari KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Antara ladang yang dilawat termasuklah PDS Abattoir Sdn Bhd, pusat penyembelihan ternakan ruminan serta pusat pemprosesan produk berasaskan ternakan menggunakan kaedah feedlot. Manakala meninjau perladangan durian dan pelbagai buah-buahan tidak bermusim pula seperti pisang, cempedak, durian belanda, buah naga dan banyak lagi, rombongan melawat Syarikat Bindaud Nursery Sdn Bhd, Syarikat LTS Real Estate & Development Sdn Bhd dan Syarikat Nature Fruit Farm yang terletak di KKP Sinaut.

Rombongan kemudian ke Syarikat Mori Farm di KKP Sinaut bagi menyaksikan penanaman herba seperti tanaman moringa, serai dan lain-lain lagi. Mereka kemudian meninjau Syarikat Oregano Sdn Bhd yang juga terletak di KKP Sinaut diuruskan yang menanam sayur-sayuran menggunakan sistem rumah terlindung dan sistem organik, dan juga buah-buahan tidak bermusim seperti buah markisa dan papaya. Sesi lawatan diakhiri dengan pihak KSSUP mengadakan sesi maklum balas bersama dengan ahli-ahli MMN bertujuan untuk mendapatkan ulasan, pandangan serta apa jua cadangan pembaikan daripada mereka.

Ulasan, pandangan dan cadangan daripada sesi maklum balas itu nanti akan dijadikan sebagai sukat-sukat dan input yang berguna bagi pihak kementerian untuk memperbaiki strategi serta meningkatkan industri pertanian, perikanan dan perhutanan.

Gambar ramai Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bersama ahli-ahli MMN di salah sebuah ladang pertanian.