Ahli MMN tinjau perusahaan pertanian, perikanan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Dalam usaha memberigakan perkembangan dan pencapaian terkini aktiviti atau perusahaan yang berkaitan dengan industri tani dan perikanan di negara, beberapa siri lawatan telah diatur oleh pihak Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN).

Sehubungan dengan itu, rombongan 11 ahli MMN bersama Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Pemangku Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab hari ini mengadakan lawatan ke beberapa perusahaan dan kawasan pertanian di Daerah Brunei dan Muara.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah timbalan-timbalan setiausaha tetap di KSSUP, Awang Abdul Halidi bin Mohd Salleh dan Awang Wardi bin Mohd Ali, pengarah pertanian dan agrimakanan, pemangku pengarah perikanan serta beberapa orang pegawai kanan dari kementerian tersebut dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Antara syarikat yang dilawat ialah Syarikat Gropoint Sdn Bhd di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Tungku yang mengusahakan penanaman tembikai wangi dan bercadang meluaskan lagi perusahaan dengan membina lebih banyak rumah-rumah hijau.

Kemudian lawatan diteruskan ke tapak Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tungku/Katok yang terletak di Site C3, KKP Tungku, berkeluasan 15 hektar.

Gambar ramai Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan ahli-ahli MMN di tapak Syarikat Gropoint Sdn Bhd. – Gambar oleh James Kon

Projek tanaman nenas oleh MPK Tungku/Katok ini diketuai oleh Ketua Kampung Tungku/Katok, Haji Ismail bin Haji Rajab yang juga ketua ladang dan mengusahakannya semenjak Julai 2018.

Rombongan MMN seterusnya melawat Syarikat MC Biotech Sdn Bhd yang juga terletak di tapak Bio Innovation Corridor, Tungku, di Plot 23-25 kemudiannya meneruskan lawatan ke KKP Luahan Jerudong iaitu ke Syarikat Perusahaan Bakar bin Berudin yang mengusahakan ternakan itik.

Lawatan seterusnya adalah ke Greenthumb Farm Sdn Bhd, Pusat Penyelidikan Pertanian Brunei (BARC) dengan tapak seluas 5.7 hektar dan seterusnya ke Syarikat Haji Sapar, KKP Lumapas di atas tapak seluas 2 hektar.

Syarikat ini diuruskan oleh Dayang Wati binti Haji Bujang dan telah mula bergiat pada tahun 1998 dengan aktiviti perusahaan tanaman sayur-sayuran, ubi kayu dan pelbagai jenis tanaman.

Rombongan kemudiannya menga-dakan lawatan ke Syarikat Hajah Arnie di KKP Lumapas dengan tapak seluas 1.75 hektar dan yang terakhir di Syarikat Berry Good Sdn Bhd di Stesen Pertanian Lumapas.

Program lawatan bagi ahli MMN akan diteruskan lagi dengan siri lawatan kedua iaitu lawatan ke tapak-tapak perusahaan pertanian, perikanan dan pelancongan di Daerah Temburong pada Isnin, 27 Januari 2020 ini.