Ahli Parlimen Bangladesh mati ditembak

DHAKA, 1 Jan – Seorang Ahli Parlimen parti pemerintah Bangladesh ditembak mati beberapa lelaki bersenjata di hadapan rumahnya selepas lebih setahun dia ditangkap kerana menembak dan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki, lapor polis pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis, Robiul Islam, memberitahu AFP, tiga penyerang terbabit dalam pembunuhan Manjurul Islam Liton di hadapan rumahnya di sebuah kampung di daerah Gazipur.

“Mereka melepaskan tembakan ke arahnya tiga kali, dua peluru terkena bahagian dada.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke sebuah hospital di Rangpur,” katanya.

Beliau berkata, penyerang melarikan diri dan polis masih belum mendapat petunjuk berhubung motif serangan.

Liton yang juga ahli Parti Liga Awami pernah ditahan pada Oktober 2015 kerana disyaki menembak dan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.

Kanak-kanak itu dikatakan sedang berjalan bersama bapa saudaranya ketika Ahli Parlimen itu lalu menaiki kereta dan memanggil lelaki terbabit.

Liton naik berang apabila bapa saudara kanak-kanak itu tidak menyahut, lalu bertindak mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan tetapi terkena kanak-kanak terbabit. Kes itu masih dalam siasatan polis dan ia mencetuskan bantahan di Gazipur dan ibu negara, Dhaka. – AFP