MANILA, 13 OKT – Ahli parlimen Filipina kelmarin memfailkan satu resolusi bagi menggesa siasatan kongres ke atas laporan bahawa negara Asia Tenggara itu sudah menjadi pusat penganiayaan seksual siber kanak-kanak terkemuka dunia.
Semasa memfailkan reso-lusi, Timbalan Speaker Dewan Perwakilan, Camille Villar mengatakan, Filipina ‘pada ranking kedua mudah terdedah jenayah siber, membawa kepada risiko lebih besar kepada penduduknya, khususnya dalam kalangan golongan bawah umur dan kanak-kanak.’
Memetik satu laporan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Interpol dan organisasi yang memerangi eksploitasi seksual kanak-kanak, Villar mengatakan 20 peratus pengguna internet di Filipina berusia 12-17 tahun adalah mangsa eksploitasi dan penganiayaan seksual online.
Villar mengatakan penganiayaan online menjadi lebih berleluasa semasa pandemik.
“Bentuk penganiayaan ini adalah isu paling mendesak hari ini,” katanya memberi amaran.
Villar juga memetik laporan dari Jabatan Keadilan yang menunjukkan eksploitasi seksual online kanak-kanak adalah tiga kali ganda semasa pandemik. Jumlah keseluruhan sebanyak 279,166 kes penganiayaan seksual kanak-kanak yang dilaporkan bermula 1 Mac sehingga 24 Mei dalam 2020, berbanding hanya 76,561 kes pada tempoh sama 2019.
“Eksploitasi seksual online ke atas kanak-kanak termasuk pornografi kanak-kanak dan penganiayaan, adalah satu bentuk penyeludupan manusia paling bahaya dan mencemaskan yang berlaku di Filipina,” kata Villar. – Xinhua