Ahli Parlimen Jerman tuduh Merkel atas pembunuhan Soleimani

FRANKFURT AM MAIN, 27 FEB – Lapan orang anggota parlimen Jerman (MP) radikal kiri parti Left berkata telah memfailkan aduan jenayah terhadap Canselor Angela Merkel dan menteri-menterinya, menuduh mereka terlibat dalam pembunuhan Jeneral Iran, Qasem Soleimani.

Aduan mereka berkaitan dengan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Ramstein di Jerman, dipercayai menjadi pusat stesen satelit yang digunakan untuk mengawal pesawat AS di udara Afrika dan Timur Tengah.

“Isyarat kawalan untuk serangan dron (yang membunuh Soleimani) hanya dapat dikawal melalui stesen satelit di wilayah Jerman, pangkalan udara AS di Ramstein,” kata pihak Left parti MP Alexander Neu dalam satu kenyataan.

Serangan dron Januari lalu di Iraq terhadap Soleimani, jeneral utama Iran, membawa Washington dan Tehran ke ambang perang untuk kali kedua dalam setahun.

Satu salinan aduan jenayah Neu yang dihantar ke laman sesawangnya menyasarkan Canselor Angela Merkel, Menteri Luar Negeri, Heiko Maas, Menteri Pertahanan Annegret Kramp-Karrenbauer, Menteri Dalam Negeri, Horst Seehofer dan anggota lain dari kerajaan persekutuan.

Left menuduh Merkel dan menteri-menterinya ‘bersubahat melalui keingkaran’ pembunuhan Soleimani.

“Kita tidak boleh terus menerima bahawa kerajaan persekutuan sendiri melanggar undang-undang antarabangsa dengan membolehkan dan menyokong serangan dron AS secara haram,” jelas Neu.

Tahun lepas, mahkamah Jerman memutuskan bahawa kerajaan memastikan AS menghormati undang-undang antarabangsa dalam operasi yang dijalankan di Ramstein.

Tiga warga Yaman telah mengadu ke mahkamah setelah kehilangan keluarga dekat dalam serangan dron pada tahun 2012.

Hakim mendapati ‘bukti yang jelas’ menunjukkan bahawa AS menggunakan pangkalan Ramstein dalam misi serangan dron di Yaman yang ‘sekurang-kurangnya sebahagian melanggar undang-undang antarabangsa’. –AFP