BAU, 20 Sept – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang di Gunung Singai sejak empat hari lalu masih gagal menemui mangsa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Tiong Ling Hii berkata operasi SAR hari keempat hari ini dimulakan pada pukul 8.40 pagi dan turut disertai Angggota Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.
Kekuatan anggota SAR hari ini terdiri daripada 30 anggota bomba, lapan Pasukan Gerakan Am (PGA), 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima ahli Borneo Venture Hikers, lapan orang awam, lima anggota Rela, tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 13 ahli HHH Group, katanya ketika dihubungi Bernama pagi ini.
Mangsa, Stanley Kho, 22, dilaporkan hilang di puncak Gunung Singai pada 17 Sept lalu ketika menaiki gunung berkenaan seorang diri.
Tiong berkata lokasi pencarian hari pertama hingga ketiga ialah kawasan pintu masuk ke laluan trek Gunung Singai hingga ke puncak tiada menemui sebarang petunjuk.
Katanya, pencarian di kawasan Tanjong Poting dengan radius pencarian 5km dan di kawasan keseluruhan lereng Gunung Singai juga gagal menemui sebarang petunjuk.
“Fokus operasi hari keempat hari ini ialah kawasan gaung di kawasan Gunung Singai dan pencarian dipecahkan kepada dua kumpulan dengan satu kumpulan bergerak dari puncak menuruni kawasan gaung dan kumpulan kedua bergerak dari arah gaung menuju ke arah puncak,” katanya. – Bernama