Ahli Parlimen telah hantar surat akuan bersumpah

KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Beberapa Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik yang dihubungi petang ini mengesahkan mereka telah menyerahkan surat akuan bersumpah masing-masing kepada Istana Negara dan menyertakan nama calon pilihan untuk menjadi perdana menteri kesembilan, seperti yang diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata surat akuan bersumpah beliau telah dihantar melalui e-mel pagi tadi, manakala Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran telah menghantar surat akuan bersumpah melalui e-mel dan faks pada pukul 12:30 tengah hari.

Kedua-duanya adalah ahli Dewan Rakyat daripada PKR.

“Pemilihan calon perdana menteri adalah seiring dengan pendirian PKR yang berpegang kepada konsensus PH, iaitu menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri,” kata Prabakaran ketika dihubungi.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengesahkan surat akuan bersumpah telah dihantar kepada parti (PAS) untuk diuruskan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu menjelaskan Dewan Ulama PAS Pusat menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, yakni selaras dengan ketetapan PAS Pusat yang sebulat suara menyokong Naib Presiden UMNO itu untuk menduduki jawatan berkenaan.

“Pencalonan itu juga menunjukkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mampu bersatu dalam apa jua keadaan yang berlaku. Saya yakin Ismail Sabri dapat menampilkan kepimpinan yang baik berasaskan pengalamannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya. 

Ahli Parlimen Tumpat yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata beliau juga sudah menyerahkan surat akaun bersumpah itu kepada parti untuk diuruskan. – Bernama

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad (kanan) dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan hadir ke mesyuarat khas dipercayai bagi menentukan calon Perdana Menteri dari UMNO di Menara Dato Onn, WTCKL, semalam. – Bernama