ANKARA, 20 Jan – Sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen Turki cedera hari ini selepas pergaduhan tercetus di antara penyokong dan pengkritik rang undang-undang pembaharuan perlembagaan untuk meningkatkan kuasa Presiden Recep Tayyip Erdogan, menurut laporan.
Mereka yang cedera termasuk seorang timbalan parti pembangkang pro-Kurdish dan seorang dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang menerajui kerajaan, menurut media Turki.
Gambar-gambar menunjukkan dua orang wanita dibawa dengan pengusung dari parlimen yang sedang membahaskan bacaan kedua rang undang-undang kontroversi.
Pergelutan berlaku selepas seorang ahli parlimen bebas, Aylin Nazliaka, menggari dirinya kepada mikrofon di hadapan pentas selama lebih satu jam sebagai tindakan membantah rang undang-undang reformasi itu.
“Saya menggari diri saya di podium untuk mengatakan tidak kepada kehendak seorang lelaki, untuk menentang pembatalan nilai republikan dan membantah parlimen yang digari dengan semakan perlembagaan ini,” katanya.

Timbalan AKP cuba untuk melepaskan beliau tetapi ahli parlimen pembangkang dari HDP dan Parti Rakyat Republikan (CHP) muncul untuk mempertahankan beliau sehingga bertumbuk dan menendang lawan, menurut media Turki.
Seorang timbalan CHP dengan kerusi roda, Safak Pavey, yang mempunyai lengan dan kaki palsu, telah dicampakkan ke lantai sebelum dibantu oleh rakan-rakan beliau, akhbar harian Hurriyet melaporkan.
“Mereka menyerang kami. Keadaan seperti mereka sudah gila. Serangan ini menunjukkan apa yang menanti kita apabila (pembaharuan) perlembagaan itu diluluskan,” kata Pavey dipetik oleh akhbar itu.
Perubahan yang dicadangkan itu akan mewujudkan jawatan eksekutif presiden untuk kali pertama dalam sejarah moden Turki yang mencetuskan kontroversi secara meluas. – AFP
































