Ahli parlimen Zimbabwe dituduh guling kerajaan

HARARE, 4 FEB – Ahli parlimen pembangkang utama Zimbabwe, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merancang untuk menggulingkan Presiden Emmerson Mnangagwa, kata kumpulan peguam semalam, susulan perkembangan terbaharu bagi siri kes yang menyasarkan pengkritik kerajaan.

Naib pengerusi parti pembangkang utama, Movement for Democratic Change Party, Job Sikhala, 47, ditahan kerana mengkritik kerajaan dalam satu perhimpunan di wilayah selatan Masvingo pada Julai lalu. Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan ikat jamin. Pada permulaan perbicaraan semalam, Pendakwa Raya Tawanda Zvekare, memberitahu mahkamah di bandar Masvingo, bahawa Sikhala merancang menggulingkan kerajaan ‘secara tidak berperlembagaan’ pada majlis MDC.

Peguam Hak Asasi Manusia Zimbabwe berkata, Sikhala mengaku tidak bersalah dan memohon supaya tuduhan subversif itu digugurkan.

“(Pertuduhan ke atas Sikhala) hanyalah gangguan kepada ahli parlimen pembangkang menerusi sistem keadilan bagi jenayah,” kata kumpulan peguam berkenaan.

Beberapa pengkritik kerajaan sebelum ini didakwa secara subversif sejak Mnangagwa mentadbir pada 2017, susulan insiden rampasan kuasa daripada Robert Mugabe. Pendakwa raya tahun lalu menggugurkan pendakwaan atas kesalahan penderhakaan terhadap Aktivis Hak Sivil yang juga paderi, Evan Mawarire yang ditahan pada Januari 2019 kerana meminta rakyat Zimbabwe bercuti sehari sebagai bantahan terhadap peningkatan harga minyak. – AFP