Ahli parti Buruh UK undi pemimpin pengganti Corbyn

LONDON, 24 FEB – Hampir 600,000 anggota parti pembangkang utama Britain mula mengundi hari ini untuk pemimpin baharu bagi menggantikan Jeremy Corbyn berikutan kekalahan teruk dalam pilihan raya.

Tiga calon, semua ahli parlimen, tersenarai dalam kertas undi, dengan keputusan akhir dijangka diumumkan pada 4 April.

Jurucakap Brexit Keir Starmer kini mendahului, dilihat sebagai calon lebih sederhana berbanding saingan utamanya, sekutu Corbyn dan jurucakap perniagaan Rebecca Long-Bailey.

Calon ketiga, Lisa Nandy, amat disegani di Westminster tetapi mempunyai profil awam yang rendah.

Corbyn dipilih sebagai pemimpin Buruh pada tahun 2015 dalam satu keputusan yang mengejutkan, selepas diketepikan dalam kerjaya politik parti di mana beberapa Ahli Parlimen berkongsi sama pandangan sosialisnya.

Sekarang berusia 70 tahun, beliau menarik tumpuan golongan muda tetapi terpaksa meletak jawatan selepas kekalahan pilihan raya kedua pada Disember lalu.

Parti Buruh memperoleh keputusan paling teruk sejak tahun 1935 sementara Perdana Menteri Konservatif Boris Johnson menang berdasarkan janjinya untuk mengeluarkan Britain dari Kesatuan Eropah (EU).

Terdapat lebih ramai calon untuk mengganti Corbyn tetapi hanya tiga yang mencapai tahap sokongan yang diperlukan dari rakan anggota parlimen, kesatuan sekerja dan persatuan Buruh tempatan.

Kini ia terpulang kepada ahli-ahli untuk membuat keputusan. Pengundian menerusi pos dan e-mel dihantar hari ini.   Terdapat lebih daripada 580,000 anggota Parti Buruh selepas pilihan raya dan lebih ramai orang dipercayai telah mendaftar sejak itu. – AFP