Ahli Pengakap Laut tamat perkhemahan

TEMBURONG, 9 SEPT – Seramai 40 orang ahli Pengakap Laut dari tiga buah sekolah menengah telah berjaya menamatkan Perkhemahan Lencana-lencana Pengakap yang berjalan selama tiga hari hingga kelmarin di Taman Rekreasi Batang Duri, Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup yang turut menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Pengakap Daerah Temburong, Haji Ayub bin Jamahat yang juga telah merasmikan perkhemahan berkenaan pada 6 September lalu.

Ahli-ahli pengakap yang mengikuti perkhemahan berkenaan adalah dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Berakas dan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar, Temburong.

Menurut kenyataan yang diberikan pemimpin Pasukan Pengakap Laut 1063 Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, sepanjang perkhemahan tersebut, pelbagai aktiviti dan kegiatan luar yang mencabar dilalui oleh ahli-ahli pengakap seperti membina khemah secara berkumpulan, ilmu mengenai pergerakan pengakap, memasak cara hutan, ‘plogging’ iaitu membersihkan persekitaran Masjid Kampung Belais ketika berjalan serta acara keagamaan iaitu tazkirah Subuh.

Perkhemahan bertujuan memastikan ahli-ahli pengakap dapat mempelajari aktiviti yang dilakukan dengan lebih sistematik dan terperinci, terutama sekali mahir dalam bidang aktiviti yang dijalankan.

Di samping itu juga bagi mengisi waktu percutian persekolahan penggal kedua dan bagi mendapatkan Lencana Kemahiran, Lencana ’Scout Standard Award’ dan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia.

Antara peserta pengakap yang menamatkan Perkhemahan Lencana-lencana Pengakap di Daerah Temburong.