Ahli perniagaan China disyaki pengintip

WARSAW, 11 Jan – Poland hari ini berkata ia telah menangkap seorang eksekutif telekom China yang didakwa sebagai pengintip, dengan media tempatan mengenal pastinya sebagai pengarah syarikat Huawei.

Menteri luar negeri China memberitahu AFP bahawa ia ‘sangat risau’ mengenai penangkapan warganya itu.

Huawei pula berkata dalam kenyataan ringkas bahawa syarikat itu ‘memantau mengenai situasi itu’ dan ‘menyiasat mengenainya’ namun tidak ada komen lanjut mengenai perkara itu ketika ini.

Pengumuman Poland itu dibuat beberapa minggu selepas Kanada menangkap timbalan presiden Huawei, Meng Wanzhou, yang dituduh melanggar sekatan ke atas Iran.

Syarikat gergasi komunikasi China itu, yang diasaskan oleh bekas jurutera tentera China, juga berhadapan pengawasan yang semakin memuncak berhubung dakwaan kaitan dengan perkhidmatan perisikan China.

Negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jepun menghalang Huawei daripada membina rangkaian Internet masa depan yang amat pantas, 5G.

Disember lalu, agensi keselamatan siber Czech mengeluarkan amaran mengenai penggunaan perisian daripada Huawei dan syarikat ZTE, dengan mengatakan bahawa ia memberikan ancaman kepada keselamatan negara.

Seorang lelaki Poland juga ditangkap atas dakwaan mengintip bersama-sama rakyat China ‘iaitu ahli perniagaan yang bekerja dengan firma telekomunikasi penting’, timbalan ketua perkhidmatan khas Poland, Maciej Wasik, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita PAP. – AFP