Ahli perniagaan didakwa gubah wang AS$350 juta

MIAMI, 14 JUN – Seorang ahli perniagaan Colombia menghadapi dakwaan penggubahan wang Amerika Syarikat (AS) dan dituduh bersalah dalam urusan di Venezuela telah ditahan di pulau gugusan Afrika Cape Verde, kata peguamnya di Miami semalam.

Cape Verde tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Amerika Syarikat dan peguam Alex Saab, Maria Dominguez, yang mengesahkan penahanannya kepada AFP, tidak menawarkan sebarang butir lanjut mengenai kes itu.

aab dan rakan perniagaannya Alvaro Pulido telah didakwa menggubah wang di AS, memindah kira-kira AS$350 juta keluar dari Venezuela sama ada ke Amerika Syarikat atau menerusi AS kepada akaun asing.

Jika disabit bersalah, mereka menghadapi hukuman penjara 20 tahun.

Jabatan Perbendaharaan AS berkata sejak 2016, Saab telah berusaha mendapatkan keuntungan daripada aktiviti mengimport makanan kecemasan ke Venezuela tatkala ia bergelut dengan kekurangan makanan dan kelaparan, dalam satu skim yang juga membabitkan anak tiri Presiden Nicolas Maduro serta 13 buah syarikat di pelbagai negara.

Seorang pegawai kanan AS, bercakap kepada AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan, berkata ketika menghadapi kekurangan mata wang asing pada awal 2018, Maduro juga membenarkan Saab memonopoli penjualan emas yang diperoleh secara haram dari kawasan perlombongan di selatan Venezuela.

Menteri luar Venezuela Jorge Arreaza menggelar penangkapan sebagai ‘sewenang-wenang’ dan menulis di Twitter bahawa beliau ‘mengambil kesemua langkah yang wajar menerusi saluran diplomatik dan perundangan untuk menjamin hak Saab.’ – AFP