Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Pertubuhan WARGAMAS, baru-baru ini, telah mengadakan mesyuarat agung luar biasa / tergempar (MALBT) mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Pertubuhan WARGAMAS.
Mesyuarat yang diadakan di Dewan Multaqa, Bangunan Baharu Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pada 5 Jun lalu itu telah dipengerusikan oleh Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don yang telah mengambil inisiatif meneliti Perlembagaan Pertubuhan WARGAMAS yang asal bersama-sama Jawatankuasa Tadbir Tertinggi (JKTT) dan Jawatankuasa Meneliti (JKM) Pindaan Perlembagaan dengan lebih daripada 20 kali mesyuarat untuk membuat beberapa cadangan pindaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan WARGAMAS, di sini, Haji Abu Bakar dalam ucapan khasnya menjelaskan bahawa cadangan pindaan perlembagaan pertubuhan itu bertujuan menjadikan perlembagaan itu lebih kemas, teratur dan bermutu tinggi, membuat beberapa pindaan khusus dan umum terhadap 24 fasal peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan asal serta memudahkan membuat rancangan strategik yang le-bih produktif dan berwawasan bagi menuju Wawasan Brunei 2035 dengan pendekatan whole of nation.
Ia juga bertujuan untuk menyenangkan merancang program kolaborasi dengan
pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan lain bagi menyejahterakan warga emas melalui perlembagaan yang seimbang dan selaras serta menjaga dan menaikkan taraf imej pertubuhan melalui Perlembaga-an Pertubuhan WARGAMAS Brunei bagi mewujudkan perpaduan yang tetap relevan dan sistematik.
Kenyataan menjelaskan lanjut bahawa MALBT diadakan kerana telah memenuhi kehendak perlembagaan asal iaitu fasal 10, 12 dan 23 dalam ehwal pindaan perlembagaan. Kuorum kehadiran ahli ke MALBT juga mencukupi dan melebihi 100 peratus kehadiran.
Hasil mesyuarat itu, 100 peratus ahli bersetuju perlembagaan yang asal akan dipinda dan dibaharui setelah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak ROS.