Ahli PERWIRA hadiri VECONAC secara maya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Seramai 17 ahli Persatuan Veteran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) dan Pemerhati, telah menghadiri Mesyuarat Badan Eksekutif ke-33 dan Perhimpunan Agung ke-20 Persekutuan Veteran Negara-negara ASEAN (VECONAC) secara maya, hari ini.

Hadir menyertai mesyuarat tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari bin Ahmad. Mesyuarat dirasmikan oleh Presiden Persatuan Veteran Vietnam (VAVN), Leftenan Jeneral Kanan (B) Nguyen Van Duoc, selaku presiden VECONAC.

Mesyuarat dan perhimpunan agung telah diadakan bertempat di Markas Tentera Darat Diraja Brunei, Berakas Garison.

Memandangkan musim pandemik melanda keseluruhan negara-negara ahli, maka VAVN telah menjadi tuan rumah selama dua tahun yang mana telah menyerahkan edaran sebagai tuan rumah bagi mesyuarat badan eksekutif ke-34 dan Perhimpunan Agung Ke-21 VECONAC kepada Persatuan Veteran Perang Thailand (WVOT) pada 15 Disember lalu.

Mesyuarat dan perhimpunan agung akan datang diadakan di Thailand pada tahun 2022.

Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari semasa menghadiri Mesyuarat VECONAC secara maya, kelmarin.