Ahli PK adakan aktiviti rondaan cegah jenayah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Balai Polis Sungai Liang, Daerah Polis Belait melalui Unit Pengawasan Kejiranan (PK), baru-baru ini telah mengadakan beberapa pendekatan bersama ketua-ketua kampung untuk memberi peluang menyuarakan permasalahan yang berhubung kait dengan jenayah dan isu-isu atau gejala-gejala sosial yang sedang dihadapi oleh penduduk kampung terlibat.

Pegawai Menguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Haji Mohd Nazmi bin Haji Ismail telah mengetuai sesi perjumpaan dengan Pemangku Ketua Kampung Lumut 1, Haji Abdul Aziz bin Haji Ghani dan Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin Datu Maharaja Setia Dian. Turut hadir semasa pendekatan berkenaan ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Abdul Hadi bin Abdullah Biju serta anggota balai.

Di samping itu, Balai Polis Seria turut mengadakan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli PK STKRJ Seria yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Inspektor Percubaan Boniface anak Janlita.

Rondaan tersebut tertumpu di kawasan-kawasan perumahan dan kawasan sekolah di Lorong Tiga Seria. Sepanjang rondaan tidak ada menjumpai sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan atau yang menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, Balai Polis Labi yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Percubaan Mohammad Janatun Na’em bin Haji Abdul Rahim juga tidak ketinggalan mengadakan aktiviti pendekatan bersama Penghulu Mukim Bukit Sawat, Haji Salleh bin Haji Othman; Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Muhammad bin Abdullah; Ketua Rumah Panjang Mendaram Besar, Beradi anak Jamau dan Ketua Kampung Labi, Haji Matussin bin Matzin.

Aktiviti rondaan pencegahan jenayah juga dibuat bersama ahli-ahli PK yang melibatkan rondaan di kawasan-kawasan bangunan kerajaan, tempat-tempat penurunan perahu dan kawasan perumahan di sekitar Mukim Bukit Sawat. Bagaimanapun, tidak ada sebarang kegiatan yang mencurigakan didapati semasa rondaan tersebut.

Aktiviti rondaan pencegahan jenayah dijalankan oleh anggota polis bersama ahli-ahli PK bagi memantau aktiviti yang mencurigakan atau menyalahi undang-undang. – Gambar serahan PPDB