Ahli PK baharu terima sijil lantikan

Oleh Normazlina M.D

Gambar oleh Pasukan Polis Diraja Brunei

 

TUTONG, 25 Mac – Sembilan orang ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Penapar telah menerima sijil lantikan masing-masing pada majlis yang diadakan di masjid kampung berkenaan, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Suhairi bin Haji Sukri.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Kampung Penapar, Haji Mahmud bin Haji Abdul Latif dan wakil pegawai Pejabat Daerah Tutong, Awang Abdul Kahar bin Haji Yahya.

Secara berasingan, di Daerah Brunei dan Muara, Koperal 4604 Hasnan bin Ali bersama empat orang ahli Focal Point Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan telah membuat pendekatan iaitu membuat perjumpaan bersama Ketua Kampung Pelambayan, Haji Hanipah bin Begawan Pehin Udana Khatib Haji Junit serta ahli PK.

Perjumpaan diadakan bagi membincangkan perihal laporan kegiatan-kegiatan jenayah yang berlaku di kampung tersebut. Turut dibincangkan ialah cadangan untuk membuat aktiviti keagamaan dan rondaan pencegahan jenayah.

Semasa majlis penyampaian sijil lantikan bagi Pengawasan Kejiranan Kampung Penapar dijalankan di masjid kampung berkenaan.

Selain membuat pendekatan, kempen membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam turut mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan ahli-ahli PK.

Baru-baru ini, Balai Polis Berakas yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Polis Berakas, ASP Muhd Nurfairuz Nazri bin Salleh dan 10 orang anggota Balai Polis Berakas serta Pemangku Penghulu Mukim Berakas A dan Ketua Kampung Delima Satu, Pengiran Roslan bin Pengiran Tuah, Ketua Kampong Pancha Delima Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub dan lima orang ahli PK menyumbangkan bakti bagi membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam di Kampung Anggerek Desa.

Adapun tujuan kerjasama membersihkan tanah perkuburan tersebut adalah untuk memupuk sikap keprihatinan sesama insan dan mengeratkan silaturahim di antara Pasukan Polis Diraja Brunei dan ahli-ahli PK.