Ahli PKWE, MPK pelajari asas bahasa isyarat

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 20 OKT – Bengkel Asas Bahasa Isyarat yang dikendalikan sempena Hari Antarabangsa Warga Emas telah diteruskan lagi di Daerah Belait dan dihadiri oleh 17 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Belait dan majlis perundingan kampung (MPK), bermula hari ini di Dewan Persidangan, Kuala Belait.

Perasmian bengkel tiga hari anjuran KKBS melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) itu telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah selaku tetamu kehormat majlis.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Mohammad Samari bin Haji Mohammad Noh, peserta Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-Pegawai Pertengahan (EDPMMO) dan diteruskan dengan ucapan kata alu-aluan oleh Ketua Bahagian Perkhidmatan Warga Emas dan Pencen-pencen, JAPEM, Dayang Atiqah binti Ibrahim.

Majlis turut diserikan dengan sketsa bertajuk ‘Pentingnya Pengetahuan Bahasa Isyarat’ yang dipersembahkan oleh peserta-peserta bengkel.

Sepanjang bengkel itu, beberapa modul akan disampaikan iaitu mempelajari penggunaan bentuk tangan untuk mengeja huruf abjad dan nombor, cara berkomunikasi secara asas seperti memberikan ucapan salam dan pertanyaan dalam Bahasa Isyarat, dan aktiviti role-play menjadi seorang OKU Pendengaran.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyertai bengkel Bahasa Isyarat boleh menghubungi Bahagian Orang Kelainan Upaya di talian 2330315 atau e-mel kepada [email protected]

Tetamu kehormat, para jemputan dan peserta bengkel menunjukkan Bahasa Isyarat pada bengkel itu. – Gambar oleh Daniel Lim