KOLKATA, 1 Mac – Polis India hari berkata mereka telah menahan seorang pegawai kanan serantau dari parti memerintah Perdana Menteri Narendra Modi atas dakwaan berkaitan dengan skandal penyeludupan yang menyaksikan kanak-kanak dijual kepada pasangan luar negara.
Para penyiasat berkata kanak-kanak berusia di antara enam bulan dan 14 tahun telah dijual dalam pengambilan anak angkat secara haram kepada pasangan-pasangan dari Eropah, Amerika dan Asia di antara AS$12,000 dan AS$23,000 dan dibawa keluar dari negara itu.
Polis berkata mereka telah menahan Juhi Choudhury, setiausaha agung Parti Bharatiya Janata di timur negeri Bengal Barat, lewat kelmarin dan mendakwanya dalam hubungan dengan kes itu.
“Dia telah didakwa di bawah beberapa seksyen dalam panel kod India termasuk menipu, penyeludupan dan eksploitasi,” kata Rajesh Kumar, ketua pengarah dari Jabatan Penyiasatan Jenayah.
Ketua pusat pengambilan anak angkat yang menjadi dalang skandal itu, Chandana Chakraborty, memberitahu para penyiasat bahawa Choudhury telah terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak bagi beberapa tahun.
Pihak polis menahan Chakraborty, seorang pengetua sekolah bersara dan timbalannya Sonali Mondal bulan lepas selepas satu maklumat jenayah dari agensi pengambilan anak angkat federal.
Kedua-dua mereka menjalankan pusat Bimala Sishu Griha di mana kanak-kanak dijual ke luar negeri kepada pasangan-pasangan sehingga 1.5 juta rupees (AS$23,000).
“Sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak dijual, dengan kanak-kanak itu dilaporkan telah dihantar ke Perancis, Amerika Syarikat, Sepanyol dan Singapura,” kata Kumar.
Para penyiasat berkata mereka telah memantau pusat amal itu sejak Jun apabila pihak berkuasa kebajikan kanak-kanak menemui percanggahan dalam rekod-rekod mereka dan menempatkan semula kanak-kanak itu dari salah satu rumah. – AFP