BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) kelmarin telah menghantar sebuah kontinjen seramai 26 orang ahli pengakap bagi menghadiri Sarawak 1st Rover Moot di Kem Matang, Kuching yang bermulai hari ini hingga 4 Julai.
Hadir menyerahkan bendera kebangsaan kepada ahli pengakap di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi kepada ketua kontinjen, Dayang Raeemah binti Awang.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Antarabangsa, Haji Abdul Manan bin Haji Abdul Latip; Pesuruhjaya Perhubungan Awam, Awang Muhammad Syahmi bin Halimshah; Pesuruhjaya Ibu Pejabat, Kebajikan dan Kemasyarakatan, Leftenan Kol (B) Ramli bin Abdul Hadis, pesuruhjaya, pengakap dan ahli keluarga peserta.
Semasa di Sarawak, seramai 22 ahli Pengakap Kelana dan empat orang ahli pengakap dewasa akan menjalani pelbagai program yang telah diaturkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak, antaranya seminar dan forum Pengakap Kelana, Matang Warrior’s Trail Run, Serapi’s Challenge, aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan dan alam sekitar.