Ahmad Shapawi kehilangan mentor

KUALA LUMPUR, 3 OKT – Pemergian mengejut bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Malaysia, Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemukan meninggal dunia pagi tadi ternyata meninggalkan kesan mendalam terhadap penggantinya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Ahmad Shapawi berkata beliau menganggap Allahyarham bukan sahaja sebagai mentor malah abang dan rakan karib sepanjang mengenali Zolkples sebelum ini.

“Allahyarham Zolkples sering memberikan kami komen dan tunjuk ajar walaupun selepas beliau tidak lagi berkhidmat bersama MSN.

“Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat sukan negara kerana beliau banyak menyumbang idea mencetuskan program baharu dan pembangunan latihan atlet sepanjang bersama MSN,” katanya ketika menghadiri upacara solat jenazah arwah di Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling hari ini.

Zolkples, 62, yang tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di sini, pagi tadi, namun polis mengesahkan tiada unsur jenayah melibatkan kematiannya.

Walaupun terkenal sebagai seorang yang lantang bersuara, Ahmad Shapawi memberitahu arwah juga sangat mesra dengan pekerjanya dan terbuka dalam menerima sebarang idea khususnya melibatkan sukan.

Katanya, Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah MSN sejak 2007 sehingga 2014 juga meninggalkan legasi kepimpinannya dengan baik terutamanya daripada segi pengurusan MSN dan program latihan sukan atlet.

Mengulas mengenai berita pemergian Allahyarham, Ahmad Shapawi berkata beliau difahamkan arwah mengalami demam pada Jumaat sehinggakan bekas pekerjanya dikatakan menghantar ubat ke kediamannya di Pandan Indah. – Bernama