AHMM tingkatkan kerjasama tangani COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dalam menangani penularan wabak COVID-19, Negara Brunei Darussalam melaksanakan pendekatan senegara yang berdasarkan dua prinsip iaitu untuk mengurangkan morbiditi dan mortaliti melalui pengesanan awal serta mengehadkan penyebaran penyakit dengan mengambil beberapa tindakan tertentu untuk mengurangkan impak keperluan mendadak kepada sistem kesihatan.

Ke arah pengesanan awal, Negara Brunei Darussalam berusaha untuk mengesan setiap kes dan kontak melalui peningkatan pensampelan ujian dengan menggunakan Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sebagai pusat pensampelan yang beroperasi 24 jam.

Pada masa yang sama, pensampelan komuniti dijalankan di beberapa buah pusat kesihatan serta membina sebuah Unit Diagnostik Molekular bagi Virus-virus Pernafasan untuk meningkatkan kapasiti ujian sebanyak 10 kali ganda.

“Setakat ini, kami telah menguji lebih daripada 8,000 individu, yang memberikan kami nisbah ujian kepada penduduk iaitu kira-kira satu dalam 50 orang,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya pada Persidangan Video Khas bagi Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) dan Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN Plus Three (APTHMM) yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di sini, hari ini, Yang Berhormat Dato mewakili Negara Brunei Darussalam dalam persidangan video khas AHMM itu yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Ltg (B) Terawan Agus Putranto selaku pengerusi AHMM serta menumpukan kepada topik bagi meningkatkan kerjasama dalam tindakan terhadap wabak COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham pada Persidangan Video Khas bagi Mesyuarat AHMM dan Mesyuarat APTHMM yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah-langkah untuk mengehadkan penularan wabak COVID-19 dengan melaksanakan beberapa tindakan bersepadu seperti sekatan perjalanan dan langkah-langkah penjarakkan sosial serta menggunakan teknologi digital bagi membolehkan remote learning dan remote working serta melancarkan kempen komunikasi dalam meningkatkan kesedaran orang ramai bagi menggalakkan kebersihan diri dan mengamalkan penjarakkan yang berpatutan pada masa ini.

Pada masa yang sama, jelas Yang Berhormat Dato lagi, negara terus melabur dalam penjagaan kesihatan dan menyediakan kapasiti tambahan dengan pembukaan bangunan baharu bagi Pusat Pengasingan Kebangsaan yang dilengkapi dengan kapasiti penjagaan kritikal.

Yang Berhormat Dato ber-kata bahawa usaha untuk menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 masih lagi belum berakhir dan walaupun tanda-tanda amat menggalakkan tetapi untuk mengawal jangkitan wabak berkenaan memerlukan kerjasama pelbagai negara.

Beliau menyarankan bahawa inisiatif dan tindakan perlu diteruskan dan dipertingkatkan antara negara ahli ASEAN dari segi pertukaran ilmu, idea-idea, amalan terbaik dan perkongsian data yang memainkan peranan penting untuk menangani wabak COVID-19.

Inisiatif serantau dalam perkongsian data dan kerjasama penyelidikan klinikal dan kesihatan awam perlu dipertingkatkan dan hasil kajian itu perlu dikongsi bersama untuk menyokong negara anggota ASEAN yang memerlukan sokongan.

Yang Berhormat Dato seterusnya menekankan kepentingan untuk rantau ASEAN merancang langkah-langkah untuk deescalate secara selamat dan berfasa dengan tidak tergesa untuk memberhentikan sekatan (lift restrictions) dengan kesefahaman bahawa ia mungkin memerlukan pendekatan secara negara-kes-negara.

Beliau juga menyuarakan bahawa bila tiba masanya pandemik COVID-19 dapat diatasi, negara dan rantau ASEAN perlu membuat penyesuaian kepada situasi new normal yang akan menimbulkan kesan kepada sistem-sistem kesihatan dan ekonomi negara-negara di rantau ASEAN.

Persidangan itu adalah sebagai landasan penting bagi perbincangan strategik mengenai hala tuju dan bidang-bidang keutamaan kesihatan yang perlu diberi perhatian di rantau ASEAN dalam menangani pandemik COVID-19 dan bertujuan untuk berkongsi sama maklumat terkini mengenai tindakan menangani COVID-19 serta untuk mendapatkan persetujuan di dalam peningkatan kerjasama dan koordinasi dalam pengukuhan tindak balas kebangsaan dan serantau bagi menangani COVID-19.