AI mampu kesan awal Alzheimer

NEW YORK, 9 Nov – Satu sistem kecerdasan buatan (AI) baharu yang dimajukan oleh penyelidik Amerika Syarikat (AS) mungkin berupaya mengesan tanda awal penyakit Alzheimer enam tahun sebelum doktor dapat membuat diagnosis sebenar.

Ahli sains di Universiti California, San Francisco melatih AI mereka mengenai cara-cara mengesan penanda perubahan metabolik dalam otak pesakit yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia demi meramalkan perkembangan Alzheimer.

Daripada kajian mereka ke atas 2,109 gambar daripada 1,002 pesakit yang telahpun didiagnosis, penyelidik mendapati AI berupaya mengesan Alzheimer dalam gambar yang diambil enam tahun sebelum diagnosis dengan ketepatan 100 peratus.

Hasil dapatan berkenaan telah disiarkan dalam Radiologi.

Alzheimer ialah salah satu gangguan otak paling sukar dan menjejas kira-kira 48 juta orang di seluruh dunia. Jumlah tersebut dijangka meningkat dengan penduduk berusia. Masih belum ada penawar yang efektif untuk penyakit itu dan kebanyakan orang mempunyai empat hingga lapan tahun untuk hidup pada mereka didiagnosis menghidapi penyakit itu.

Kerosakan otak akibat penyakit Alzheimer boleh berlaku beberapa tahun sebelum sebarang gejala seperti hilang ingatan dan kemerosotan kognitif muncul.Lebih awal seseorang pesakit Alzheimer mula mengambil ubat, lebih baik. Maka pengesanan awal merupakan harapan terbaik mereka. Walaupun ia akan mengambil sedikit masa sebelum sistem baharu boleh diperoleh oleh semua orang, penyelidik mempunyai harapan tinggi dengan potensi AI.

“Jika kami mendiagnosis penyakit Alzheimer apabila kesemua gejala telah muncul dengan jelas, kehilangan jumlah isi padu otak adalah amat besar sehingga ia terlalu lambat untuk berbuat apa-apa,” kata penulis bersama Dr Jae Ho Sohn.

“Jika kami boleh mengesannya lebih awal, ia merupakan satu peluang untuk penyiasat untuk mencari cara yang lebih baik untuk memperlahankan atau menghentikan proses penyakit,” tambah beliau. – Xinhua