AIA Brunei sediakan perlindungan COVID-19 percuma kepada pelanggan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Dalam menepati janjinya untuk membantu pelanggan menjalani gaya kehidupan lebih sihat dan baik, AIA Brunei menyediakan perlindungan COVID-19 percuma bagi pelanggan yang layak sejak pandemik bermula tahun lalu.

Menurut kenyataan AIA Brunei, hari ini, perlindungan khas berkenaan menyediakan pembayaran bagi rawatan di hospital dan bayaran tambahan untuk kematian akibat COVID-19.

Semua pelanggan yang layak akan mendapat manfaat secara automatik daripada perlindungan insurans tambahan berkenaan tanpa sebarang tindakan atau pembelian tambahan diperlukan.

Ini termasuk pelanggan baharu yang polisinya dikeluarkan sebelum penghujung November.
Pelanggan yang layak termasuk pemilik polisi dan orang yang dilindungi AIA Life, pelanggan-pelanggan penyelesaian korporat serta pekerja dan wakil AIA.

Namun bagi mereka dijangkiti COVID-19 sebelum pengeluaran polisi baharu adalah tidak layak.

Oleh itu, tidak akan ada pembayaran jika seseorang yang diinsuranskan itu didiagnosis dengan COVID-19 dalam tempoh 14 hari selepas tarikh pengeluaran polisi atau tarikh kuat kuasa polisi (mana-mana kemudian) atau jika gejala muncul sebelum permohonan
polisi.