AIC berang keputusan halang latihan

MILAN, 29 APRIL – Kesatuan Bolasepak Itali (AIC) kelmarin berang dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan sukan berpasukan kembali membuat latihan sementara sekatan ke atas atlet individu telah dikurangkan.

Perdana Menteri Guiuseppe Conte telah mengumumkan bahawa atlet individu boleh menyambung latihan pada 4 Mei, tetapi sukan berpasukan termasuk bola sepak, mesti menunggu sehingga sekurang-kurangnya 18 Mei.

AIC berkata keputusan tersebut telah membuatkan pemain bola sepak merasa ‘bingung dan terkejut’.

‘Idea itu kelihatan diskri-minatif, bahkan tidak logik untuk membiarkan atlet sukan individu memasuki padang latihan, tetapi pemain bola sepak profesional dan atlet-atlet lain yang berdaftar tidak dibenarkan untuk kembali,” kata AIC, yang diketuai oleh bekas pemain kebangsaan Itali, Damiano Tommasi.

“Peraturan itu memburukkan lagi risiko dan bukan membendung risiko.

“Bagi atlet profesional, fasa latihan ini diperlukan setelah sekian lama berhenti untuk menggelakkan kece-deraan dan bersedia untuk memulakan latihan dalam berpasukan mulai 18 Mei.

Kelab-kelab liga utama Itali telah mengundi sebulat suara untuk menghabiskan liga musim ini yang telah dihentikan sejak 9 Mac, tetapi keputusan terakhir akan ditentukan oleh kerajaan.

Di Perancis, Perdana Menteri Edourd Philippe, mengumumkan kelmarin bahawa bola sepak profesional, ragbi dan sukan-sukan lain tidak boleh disambung sehingga penghujung musim panas.

Menteri Sukan Itali, Vicenzo Spadafora mempertahankan keputusan berhati-hati kerajaan dengan Itali sedang bergelut dengan virus yang telah membunuh melebihi 27,000 orang di negara itu.

“Langkah berhati-hati yang kami ambil mengenai bola sepak adalah apa yang masih meninggalkan harapan untuk meneruskan kejuaraan,” tulis Spadafora dalam laman Facebook.

“Alternatifnya adalah membuat seperti apa yang dilakukan oleh Perancis, untuk mengatakan bahawa bola sepak berhenti di sini.

“Segala-galanya bergantung pada evolusi krisis kesihatan dan kemampuan kita menangani krisis ini sehingga 4 Mei untuk mematuhi peraturan.” – AFP