Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    AICTA 2021: Rumine corp terima anugerah emas

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Sebuah syarikat tempatan, Rumine Corporation telah berjaya mengharumkan nama negara dengan memenangi Anugerah Emas (tempat pertama) untuk kategori Digital Content bagi Anugerah ICT ASEAN 2021 (AICTA) 2021.

    Sebagai penghargaan atas usaha dan kejayaan berkenaan, Majlis Penghargaan Pemenang ASEAN ICT Awards 2021 telah diadakan di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), hari ini. Di majlis itu, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof telah menyampaikan tanda penghargaan kepada Rumine Corporation.

    AICTA yang diadakan sejak 2012 adalah inisiatif yang mendukung pelaksanaan Pelan Induk ICT ASEAN 2015 (AIM 2015).

    Selaras dengan perkembangan kerjasama digital ASEAN di bawah Pelan Induk Digital ASEAN 2025, pengendalian AICTA diteruskan sebagai aktiviti tahunan dengan diterajui oleh pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN (yang sebelum ini dikenali sebagai Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan IT ASEAN.) AICTA diadakan setiap tahun untuk memberi pengiktirafan kepada produk dan penyelesaian yang inovatif, kreatif serta menghasilkan impak yang relevan dengan keadaan dan keperluan semasa.

    AICTA 2021 telah membukakan enam kategori untuk penyertaan dari negara-negara ahli ASEAN, iaitu Sektor Awam, Sektor Swasta, Tanggungjawab Korporat Sosial, Digital Content, Start-up dan Penyelidikan dan Perkembangan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bergambar ramai bersama warga MTIC dan wakil Syarikat Rumine Corporation.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam AICTA adalah inisiatif berterusan yang dimudah cara oleh MTIC dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam ICT.

    Selain itu, untuk mengembangkan sektor ICT di negara ini dengan menggalakkan individu, pelajar dan perniagaan untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Negara Brunei Darussalam telah menghantar empat penyertaan iaitu Jabatan Pengangkutan Darat, Rumine Corporation, Network Integrity Assurance Technology Sdn Bhd (NiAT) dan IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS). Kemenangan Rumine Corporation telah diumumkan semasa Majlis Anugerah AICTA 2021 yang diadakan secara dalam talian pada 28 Januari lalu. Bagi kategori Digital Content, Rumine Corporation telah mempertandingkan produk Techsim iaitu simulasi perhimpunan maya bagi pembelajaran dan latihan asas untuk kakitangan dan pelatih dengan menggunakan realiti maya (VR) dan hand motion sensors.

    Rumine Corporation yang diwakili oleh Dayang Sarinah binti Ziziumiza, Dayang Nursheila binti Ziziumiza, Dayang Lailatun Najihah binti Ahmad Humaizi dan Awangku Hafeezur Rahman bin Pengiran Haji Ramlee, telah menewaskan penyertaan dari Indonesia dan Thailand yang masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga dalam kategori berkenaan.

    Rumine telah berkecimpung dalam sektor teknologi digital dengan memberikan perkhidmatan berteraskan customized augmented reality (AR), VR dan applied games.

    Selain itu, syarikat berkenaan juga aktif menyertai inisiatif yang dikendalikan oleh MTIC dan AITI, khususnya Anugerah ICT Brunei (BICTA) sejak 2018 dengan mempertandingkan pelbagai produk yang dihasilkan. Syarikat berkenaan juga telah mendapat bimbingan (mentoring) dan sokongan menerusi penglibatan mereka dalam program yang dikendalikan oleh AITI dan rakan-rakan industri seperti BICTA Plus Bootcamp .

    Turut hadir semasa majlis penghargaan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar dan pegawai-pegawai kanan dari MTIC dan AITI.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...